MELAKA – Padah menghalang tugas dan melanggar motosikal anggota polis dua tahun lalu, seorang kontraktor didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chok EE Meng, 44, yang menukar pengakuan kepada bersalah hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas polis dengan cara melarikan diri dari pemeriksaan kira-kira 10 malam 26 Julai 2020.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar motosikal ditunggang anggota polis, Mohammad Khairul Hashim yang sedang menjalankan tugas hingga terjatuh dan cedera di Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Paya Rumput pada tarikh dan masa sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh sebelum ini memohon dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan.
Jika gagal membayar denda itu tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara 16 bulan bagi kedua-dua pertuduhan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan hukuman setimpal kerana kesalahan serius iaitu melanggar motosikal anggota polis bertugas hingga jatuh dan cedera.
Tertuduh diwakili peguam Ng Fun Boon. – MalaysiaGazette