Friday, November 15, 2024
Home Nasional Keputusan mansuh atau tidak sistem imbasan MySejahtera dua minggu lagi – KJ

Keputusan mansuh atau tidak sistem imbasan MySejahtera dua minggu lagi – KJ

Mysejahtera casual contact Covid-19
A customer scanning the MySejahtera QR Code and showing his fully vaccinated status before entering a cyber cafe. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 17 OCTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau trend jangkitan Covid-19 dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan atau memansuhkan sistem imbasan masuk aplikasi MySejahtera.

Menterinya,  Khairy Jamaluddin berkata, pemantauan itu turut mengambil kira negara yang kini berada di fasa peralihan endemik.

“Oleh kerana kita telah melepasi puncak Omicron dan berada di fasa peralihan endemik, KKM pantau dari segi trend jangkitan dan kita buat keputusan dalam seminggu dua sama ada akan teruskan atau tidak dari segi imbasan masuk MySejahtera,” katanya ketika sidang media.

Sementara itu, Khairy menegaskan sistem pengesanan kontak rapat menerusi aplikasi berkenaan masih relevan dan terbukti efektif.

Katanya, keberkesanan pengesanan kontak khususnya ketika negara berhadapan dengan gelombang varian Omicron telah terbukti.

“Di puncak gelombang Omicron 45 peratus daripada data kontak rapat adalah positif. Mereka berjaya diasingkan melalui sistem pengesanan kontak rapat.

“MySejahtera masih ada nilainya sebagai alat untuk pengesanan kontak,” tambahnya.

Sebagai rekod, Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mengesyorkan KKM mengkaji keberkesanan penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengesanan kontak rapat.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Khairy menegaskan bahawa daftar masuk menggunakan MySejahtera merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuat kuasa sehingga kini.

Begitu juga dengan pemakaian pelitup muka yang perlu dipatuhi di tempat awam.-MalaysiaGazette