Home Nasional Ubat Covid-19 bukan pengganti vaksin – KJ

Ubat Covid-19 bukan pengganti vaksin – KJ

Ubat antiviral Paxlovid

KUALA LUMPUR – Ubat antiviral Covid-19 bukan pengganti vaksin sebaliknya ubat Paxlovid berfungsi mengurangkan kemampuan replikasi SARSCoV-2 supaya sistem pertahanan badan melawan jangkitan sekali gus mengurangkan kemudaratan akibat jangkitan virus itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ubat Paxlovid hanya dapat mencegah jangkitan pada peringkat awal daripada menjadi lebih mudarat.

Selain warga emas yang berisiko tinggi yang boleh mengambil ubat tersebut, ia juga boleh merawat pesakit Kategori 2 dan 3 berumur 18 tahun ke atas dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Penggunaan ubat Paxlovid merupakan satu lagi inisiatif kerajaan melawan wabak Covid-19 dan ditawarkan secara percuma.

“Penggunaan ubat Paxlovid hanya ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan iaitu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan hospital kerajaan.

“Pesakit yang diberikan skor 3 dan ke atas akan diberikan keutamaan untuk rawatan antiviral,” katanya ketika sidang media.

Jelas beliau, bagi mencapai keberkesanan yang optimum, pesakit akan diberikan ubat berkenaan dalam tempoh lima hari gejala.

Sebelum ini dilaporkan, kajian menunjukkan penggunaan ubat ini boleh mengurangkan hampir 90 peratus risiko kemasukan ke hospital atau kematian.- MalaysiaGazette