KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat hari ini sebulat suara menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi rata-rata mahu Perdana Menteri Kesembilan itu meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU15 sekiranya Barisan Nasional (BN) menang.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Dalam pada itu, mesyuarat MKT turut menyentuh mengenai kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan pembangkang.
Jelas Ahmad, perjanjian yang akan berakhir 31 Julai depan juga tidak akan diteruskan.
Antara lain yang turut diputuskan malam ini adalah UMNO dan BN akan menyokong Rang Undang-undang Akta Anti Lompat Parti yang dijadual dibentangkan kerajaan Julai depan.
“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya.
Selain itu, UMNO turut dijadual mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khas pada 14 Mei depan.
Ia bertujuan meminda Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.
Pada PAU2021, perhimpunan itu meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan
– MalaysiaGazette
– MalaysiaGazette