Home Politik Saifuddin habiskan masa bersama ahli PKR hujung minggu ni

Saifuddin habiskan masa bersama ahli PKR hujung minggu ni

Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghabiskan cuti hujung minggu ini dengan memenuhi jadual padat program bersama anggota parti.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, sepanjang dua hari bermula esok dan Ahad ini, beliau berada di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bagi memenuhi jemputan kepimpinan cabang dan akar umbi.

“Dalam minggu ini, saya dijemput untuk bertemu dengan anggota Keadilan melalui program yang telah diaturkan dan kemudian diselaraskan dengan jadual saya.

“Saya juga diminta untuk memanjangkan jemputan ini kepada saudara-saudari untuk sama turut serta. Insya-Allah,” ciapnya menerusi akaun Twitternya tengah hari ini.

Saifuddin mula sibuk bertemu kepimpinan di semua peringkat untuk mendapatkan sokongan bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR bersama kumpulannya telah mula turun ke akar umbi dalam usaha mendapatkan sokongan dan undi bagi pemilihan parti pada Mei ini.

Beliau menerusi kenyataan medianya baru-baru ini dilaporkan mengingatkan semua pihak bertanding dalam pemilihan parti itu supaya berkempen secara sihat dan tidak melakukan serangan peribadi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan  terdapat calon tertentu yang mendakwa mereka merupakan calon pilihan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertembungan satu lawan satu antara beliau dengan Saifuddin Nasution ini dijangka sengit tetapi pemerhati politik membuat ramalan, Setiausaha Agung PKR itu mempunyai kelebihan dari segi moral dan integriti.

Rafizi pernah menyepi diri selama tiga tahun selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan sebelum ini bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Tindakannya itu dianggap sesetengah anggota PKR sebagai tidak bertanggungjawab kerana ‘melarikan diri’ ketika parti dalam keadaan memerlukannya dan ‘menampilkan diri’ selepas parti selesai berdepan masalah.

Ini berbeza dengan Saifuddin Nasution yang sentiasa bersama kepimpinan parti dalam semua situasi. – MalaysiaGazette