Home Dunia Penduduk Shanghai tidak puas hati dikenakan sekatan Covid-19

Penduduk Shanghai tidak puas hati dikenakan sekatan Covid-19

Individu berpakaian hazmat menolak seorang penunjuk perasaan. Foto BBC

BEIJING – Satu video memaparkan pertempuran antara polis dan orang ramai yang dipaksa keluar dari rumah mereka di Shanghai, ketika bandar itu memasuki minggu ketiga sekatan Covid-19.

Beberapa kawasan kediaman sedang dijadikan pusat kuarantin.

Berjuta-juta penduduk terpaksa berkurung di rumah mereka ketika Shanghai memerangi wabak baharu virus itu.

Mana-mana individu yang didapati positif akan dikuarantin.

Tetapi dengan lebih daripada 20,000 kes baharu sehari, pihak berkuasa sedang bergelut untuk mencari ruang yang mencukupi.

Beberapa minggu ini, dewan pameran dan sekolah telah bertukar menjadi pusat kuarantin dan hospital sementara ditubuhkan.

Bilangan kes serius yang rendah di Shanghai telah menyebabkan orang ramai mempersoalkan sama ada sekatan wajar dilakukan, kata wartawan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini ramai penduduk telah menggunakan media sosial bagi menyatakan rasa tak puas hati tentang sekatan dan kekurangan bekalan makanan.

Orang ramai perlu memesan makanan dan air dan menunggu penghantaran sayur-sayuran, daging dan telur oleh kerajaan.

Para penganalisis berkata, ramai penduduk kehabisan bekalan.

Tiga minggu selepas berkurung, penduduk Shanghai mula menzahirkan marah. – BBC