KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta campur tangan dalam isu pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampung Bharu.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, isu itu menjadi pelik kerana tawaran berunding semula dicadangkan selepas ia diwartakan mengikut Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun lalu.
Padahal menurut Ahli Parlimen Shah Alam pengambilan tanah dibuat bukan atas persetujuan bersama antara pemaju dan pemilik rumah flat dan teres di kawasan berkenaan.
“Perdana Menteri kena ambil serius isu ini kerana projek pembangunan semula ini adalah berbentuk komersil. Bukannya hendak bangunkan sekolah atau hospital dan tiada rundingan bersama kerana tidak semua pemilik unit rumah setuju untuk pindah.
“Malah pemilik juga ada hak berunding dengan pemaju lain. Jadi layanlah pemilik sebagai tuan tanah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir wakil penduduk rumah teres terbabit, Azlan Mustapa.
Sementara isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah membabitkan 67 unit rumah teres dan lapan blok pangsapuri atau 264 unit rumah pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, penduduk khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).
Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.
Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan, isu pengambilan tanah itu tidak timbul ketika beliau memegang jawatan menteri Kabinet di zaman pemerintahan Pakatan Harapan.
Jelas beliau ini kerana ketika itu, pemaju dan pemilik masih lagi berunding untuk mencari jalan penyelesaian.
Sementara itu, Azlan berkata, penduduk flat kini sudah mula diarah keluar dari rumah dan mengosongkan kediaman dalam bulan Ramadan ini.
Jelas beliau, pemilik teres pula hanya menunggu giliran sahaja.
“Akta Pengambilan Tanah yang dikenakan kepada penduduk Kampung Sungai Baru ketika ini adalah penindasan terang-terangan yang bersifat kejam.
“Warta dikenakan ketika rakyat melarat, hilang kerja dan serabut dengan pandemik. Langsung tiada empati. Kerajaan perlu membantu kami dan lebih berpihak kepada pemaju di mana rakyat yang patut didahulukan,” katanya. – MalaysiaGazette