KUALA LUMPUR – Pemandu treler maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 38.5 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada pukul 1.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kemalangan berlaku apabila kontena yang dibawa oleh sebuah treler yang dipandu dari arah Pulau Indah menghala ke Telok Panglima Garang jatuh kemudian melanggar sebuah lagi treler yang dipandu oleh mangsa dari arah bertentangan.
Mangsa yang berumur 36 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di antara treler dengan kontena.
“Apabila sampai di KM 38.5 Lebuhraya SKVE lori itu hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan muatan kontena yang dibawanya telah terjatuh dari treler berkenaan dan masuk ke laluan bertentangan (arah Telok Panglima Garang menghala ke arah Pulau Indah) lalu kontena itu dilanggar oleh treler jenis Volvo yang sedang bergerak terus di laluannya.
“Akibat daripada itu pemandu treler jenis Volvo itu tersepit di antara treler dengan kontena,” katanya menerusi kenyataan hari in9i.
Ahmad Ridhwan berkata, kes kemalangan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, polis mengalu-alukan saksi kemalangan untuk tampil membantu siasatan.- MalaysiaGazette