Home Ekonomi Sardin Viral sasar jualan RM12.6 juta

Sardin Viral sasar jualan RM12.6 juta

Team Sardin Viral.

KUALA LUMPUR – Permintaan Sardin Viral pek kantung atau pouches yang pertama di Malaysia dan diusahakan oleh D’Era Pouch Industries Sdn. Bhd. naik mendadak terutamanya sejak awal bulan Ramadan lalu.

Trend pembelian pek sardin itu termasuk pek kantung kari ayam itu didorong oleh sifat produk dalam bungkusan yang jangka hayat bertahan selama dua tahun dan memudahkan pengguna.

Hanya ‘koyak dan makan’, Sardin Viral dan kari ayam sedia dimakan terus atau boleh dipanaskan terlebih dahulu sama ada ketika berbuka puasa atau bersahur.

Menurut Eksekutif Jualannya, Lokman Hakim Mohamad Rosli menjadi perintis makanan seperti sardin dan makanan berkuah yang menggunakan pek kantung memberi alternatif dan suasana berbeza selain mesra pengguna.

“Pek kantung ini yang menggunakan teknik baharu dalam penyediaan produk iaitu teknologi retort atau pensterilan supaya produk yang dihasilkan mampu bertahan sehingga dua tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.

“Teknologi retort mungkin baharu di negara, tetapi ia sudah lama digunakan tentera Amerika Syarikat dalam medan pertempuran sejak 1950-an.

“Berbanding penggunaan tin yang cenderung membuatkan ikan sardin itu masih berbau hanyir dan mempunyai aroma tin, pek kantung pula melawan arus dan sangat praktikal untuk mereka yang mahu menjimatkan masa, berkerjaya atau golongan pelajar. Tentunya ia dijamin halal,” katanya.

D’Era Pouch Industries ditubuhkan sejak tahun 2004 namun mula mengeluarkan jenama sendiri termasuk Sardin Viral pada tahun 2014.

Seterusnya melangkah bergaya mengeluarkan produk sardin dan pelbagai produk lagi sama ada jenama sendiri atau secara pengilangan  pengeluar peralatan tulen (OEM), dipasarkan ke pasar raya dan berpangkalan di Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan.

Eksekutif Jualan Sardin Viral, Lokman Hakim Mohamad Rosli.

Selain sardin viral dan kari ayam yang menjadi produk laku keras, dua lagi rangkaian makanan iaitu Baked Beans dan Tomato Puree turut dihasilkan. Istimewanya sardin viral turut diterbitkan dalam pek kantung mini.

“Kita menjaga kebersihan termasuk melakukan pemeriksaan rapi terhadap ikan dan sumber makanan lain digunakan. Bererti proses kawalan kualiti (quality control) itu amat dititikberatkan dalam setiap proses atau mesin yang digunakan. Di Nilai 3 itu juga kami miliki kilang pemprosesan dengan melebihi 100 orang pekerja.

“Teknologi retort sendiri menggunakan kaedah pembungkusan makanan dicipta dengan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel.

“Teknologi itu membolehkan pensterilan makanan dihasilkan malah semua makanan dihasilkan perlu juga melalui mesin pengesan logam magnetik untuk mengimbas makanan supaya tidak mengandungi bahan bendasing seperti serbuk besi,” katanya.

Kata Lokman Hakim lagi, setakat ini saja 8,000 karton sardin dan 2,000 karton kari ayam dihasilkan bagi memenuhi permintaan semasa.

“Kita sasarkan jumlah karton itu boleh bertambah dari semasa ke semasa di mana sardin viral sendiri boleh dihasilkan lebih 100,500 karton hingga hujung tahun ini manakala kari ayam boleh mencecah 7,000 karton.

“Kami sasarkan hasil jualan tahun ini dengan mempertaruhkan rangkaian produk yang ada boleh mencecah RM12.6 juta,” katanya.

Produk jenama ini mengambil masa hampir setahun untuk melalui proses penyelidikan dan pembangunan (RnD) iaitu pada 2013.

“Kita mempunyai lebih 12 orang yang mengawal pusat pengedaran di sebelah Utara seperti Taiping dan Juru selain Kuala Terengganu manakala ejen pula seramai 53 orang di setiap negeri.

“Selain itu kita juga menjual produk di 133 pasar raya besar dan 527 pasar raya di seluruh negara. Kita juga mempunyai 42 papan iklan gergasi sebagai promosi di laluan lebuh raya terpilih,” katanya.

Produk sardin kantung pertama di Malaysia.

Penggunaan golongan artis dan pempengaruh juga menjadi nilai tambah membuatkan jenama ini terutama sardin viral menjadi sohor kini dan meledak.

“Cara memasak sambil bercerita dan menyediakan resipi istimewa membabitkan golongan artis antaranya seperti Sheila Rusly, Izreen Azminda, Sharifah Shahira dan juga isteri Nabil Ahmad iaitu Zira Ayub turut mengundang tarikan untuk ramai mendapatkan produk kami.

“Produk ini 100 peratus milik bumiputera dan boleh dibeli di pasaraya terkemuka terpilih atau layari facebook @sardinviral dan laman sesawang sardinviral.com.my,” katanya. – MalaysiaGazette