KUANTAN – Reman bapa tiri yang didakwa merantai seorang kanak-kanak pada tong gas disambung tiga hari lagi.
Ketua Siasatan Jenayah Pahang, SAC Othman Nayan berkata, askar berusia 32 tahun itu akan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Khamis lalu, polis menemui seorang kanak-kanak yang pengsan dengan lehernya dirantai pada tong gas dalam sebuah rumah di Indera Mahkota, dekat sini selepas menerima laporan orang ramai.
Susulan itu, seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa ditahan polis dan telah direman selama lima hari.
Semalam, hasrat mangsa yang mahu bertemu bapa kandungnya yang tinggal di Melaka tercapai.
Malah bapanya yang bekerja sebagai pencuci kereta turut menyatakan kesediaan untuk menjaga mangsa bersama dua adik-beradiknya yang lain.-MalaysiaGazette