BUKIT MERTAJAM – Polis menumpaskan satu sindiket perjudian atas talian selepas menyerbu sebuah premis yang dijadikan sebagai calling centre (pusat operasi) di Pusat Perniagaan Gemilang di sini, kelmarin.
Serbuan jam 2 petang yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah itu membawa kepada tangkapan 18 suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun.
Turut ditahan penganjur judi online tersebut yang berusia 47 tahun.
MalaysiaGazette difahamkan, sindiket ini baru beroperasi tiga hari di premis tersebut memandangkan mereka menggunakan modus operandi berpindah randah bagi mengelakkan dikesan pihak polis.
Hasil siasatan pihak polis juga mendapati sindiket menyasarkan kaki judi warga tempatan dan transaksi pertaruhan dibuat secara tunai serta perbankan atas talian.
Dalam serbuan itu juga, pihak polis merampas 11 komputer riba, 34 telefon bimbit, tiga set modem, buku catitan pertaruhan, kalkulator, satu set buah dadu, kad giliran pertaruhan, serta sebuah kereta jenis Mercedes Benz.
Turut dirampas pelbagai jenis token pertaruhan yang bernilai hampir RM17,000 secara keseluruhan serta wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM67,000.
Difahamkan, sindiket mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap hari daripada hasil kegiatan haram itu.
Kesemua tangkapan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksysn 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksysn 4(1)(g) akta yang sama. – MalaysiaGazette