KUALA LUMPUR – Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) masih terpakai selagi mana Parlimen tidak dibubarkan pada atau sebelum 31 Julai 2022.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, MoU itu hanya akan terbatal secara automatik pada tarikh tersebut atau tarikh akhir Parlimen, selewat-lewatnya pada 15 Julai 2023.
“Dalam MoU dinyatakan berkuatkuasa hingga bubar Parlimen, selagi Parlimen tak terbubar, maka MoU itu terpakai.
“Parlimen tidak terbubar sebelum 31 Julai 2022. Keputusan membubarkan Parlimen itu terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Pemakaian MoU antara PH dan Kerajaan tamat sehingga Parlimen dibubarkan. Tarikh akhir Parlimen adalah pada 15 Julai 2023.
“Kalau kerajaan setuju buat keputusan bubar Parlimen, MoU itu terbatal secara automatik,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Connexion, Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, MoU itu antara lain kerajaan Dan pembangkang sepakat untuk menyelesaikan 18 perkara termasuk Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.
“Anti Lompat Parti sepatutnya diselesaikan pada Mac 2022, tapi masih tidak selesai juga.
“Malah pihak UMNO sendiri mahu Anti Lompat Parti ini disegerakan.
“Setakat ini 13 daripada 18 perkara selesai, tinggal empat perkara lagi termasuk anti lompat parti masih belum selesai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil pula berkata, walaupun MoU hanya membabitkan kerajaan dan PH, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sendiri datang daripada UMNO.
“MoU antara kerajaan dan PH, UMNO tak pernah setuju untuk tandatangan MoU dengan PH.
“Walaupun UMNO tak terikat, namun UMNO sudah pun menyarankan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.
“UMNO sudah buat keputusan untuk tidak melanjutkan MoU dan tidak terkekang untuk saran Perdana Menteri bubarkan Parlimen.
“Walaupun Anthony Loke kata UMNO jangan masuk campur tapi Perdana Menteri datang daripada UMNO dan Ismail Sabri adalah Orang Parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette