Home Ekonomi Perangi orang tengah supaya harga barang murah – Noh

Perangi orang tengah supaya harga barang murah – Noh

Datuk Seri Ismail Sabri meninjau harga barangan basah sejurus perasmian majlis perasmian MG Coopmart-Kopbera dan Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Bera, hari ini

BERA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan terus memerangi peranan orang tengah supaya harga barangan lebih murah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, antara kaedah boleh digunakan dengan mewujudkan sistem ladang kontrak dan pusat edaran koperasi yang boleh memberi manfaat kepada pembeli koperasi sedia ada.

“Apabila peranan orang tengah dikurangkan, harga barang dapat dikurangkan menjadi lebih murah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian MG Coopmart-Kopbera dan Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera.

Pelancaran disempurnakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Noh, inisiatif itu adalah aspirasi perdana menteri ketika memerangi peranan orang tengah semasa menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Jelas Noh, penubuhan coopmart juga dapat mengurangkan harga barangan jualan runcit serta jurang di antara pembekal, pengeluar dan pengguna kerana kurangnya penglibatan orang tengah.

“Kementerian akan menjenamakan semula kedai koperasi kepada Coopmart agar lebih menarik dan mensasarkan untuk menubuhkan lebih 500 Coopmart seluruh Malaysia.

Untuk rekod di Pahang sahaja, sebanyak 160 koperasi terlibat dalam peruncitan.

Manakala sebanyak 1,178 daripada 14,657 buah koperasi telah didaftarkan dengan keanggotaan sebanyak 279,264 orang daripada 6.5 juta orang keseluruhan. – MalaysiaGazette