KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang dikemukakan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah terhadapnya, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Mohd Fuzi Harun dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar merupakan individu yang disapina Jamal.
Peguam Nasir Yusof yang mewakili Jamal memaklumkan sapina itu diserahkan minggu lepas, bersama tiga lagi individu sebagai saksi pembelaan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung awal tahun depan.
“Kami bagi pihak peguam defendan telah bersedia untuk perbicaraan dan sapina telah diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan minggu lepas,” katanya di luar kamar Mahkamah Jalan Duta.
Nasir berkata, Mahathir akan dikemukakan sebagai saksi utama kerana beliau adalah Menteri Dalam Negeri ketika suami Maria, allahyarham Yunus Ali, dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) sekitar 1980-an.
Fuzi pula dipanggil kerana ketika Maria ditahan selama 11 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012, beliau merupakan Ketua Cawangan Khas manakala Khalid, pula merupakan Ketua Polis Negara.
Jelasnya, kenyataan yang bakal diberikan itu pasti akan memberikan bukti yang membawa kepada penahanan Maria.
Maria memfailkan saman itu berikutan dakwaan pemimpin Gerakan Baju Merah itu bahawa BERSIH diresapi pengganas IS. Jamal dikatakan membuat tuduhan itu pada 28 September dan 4 Oktober tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menangguhkan prosiding perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini kepada 15 hingga 19 Januari depan.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Harun bagi pihak Fuzi memaklumkan, pihaknya mengemukakan permohonan bagi mengetepikan sepina ke atas Fuzi.
Mohd Zaki menetapkan 10 November depan untuk mendengar permohonan tersebut.
Pada 7 Oktober tahun lepas, Maria, 60, selaku plaintif menyaman Jamal dengan mendakwa pada 28 September 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.
Maria juga mendakwa, pada 4 Oktober tahun lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Oktober di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik. – MalaysiaGazette.