KUALA LUMPUR – Presiden UMNO kesal apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengaitkan beliau dalam tertuduh kes penderaan seorang gadis sindrom down yang dikenali sebagai Bella kerana menggunakan 10 peguam bela.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diheret sama dengan tertuduh kes tersebut, Siti Bainun Ahd Razali selepas tular gambar wanita itu bersama keluarga beliau.
Beliau akui pernah membantu ramai individu sepanjang penglibatan dalam politik termasuk didatangi mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan.
”Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah. Hanya dengan mengaitkan gambar saya dengan tertuduh juga tidak berasas, sebagai seorang pemimpin mana mungkin saya menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar.
”Sebagai contoh hari ni saya memuji seseorang tokoh berkenaan kebaikan dan kehebatannya di media sosial saya, setelah sekian lama dia pula dituduh melakukan jenayah dan perbuatan yang salah disisi undang-undang, adakah saya juga dikaitkan kerana pernah memuji beliau,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, jangan terlalu cepat menuduh dan membuat kesimpulan atas apa dibaca dan dilihat, sebaliknya biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama.
Malah, katanya, dakwaan beliau cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal kerana tidak mempunyai sebarang kuasa berbuat demikian.
”Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan. Jika benar saya mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik saya `melindungi’ kes saya.
”Melindungi” kes mahkamah dikenakan terhadap saya oleh kerajaan 22 bulan sejurus mereka memperoleh kuasa. Namun bukankah sehingga hari ini saya gagahi perjuangan untuk membersihkan nama saya di mahkamah,” ujarnya sambil berharap pihak tertentu yang sedang gigih berusaha untuk memfitnahnya sekali lagi demi politik berhentilah.
Sempat beliau berpesan bahawa bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya dicemari dengan nilai-nilai kebatilan seperti itu.
Apatah lagi menjelang PRU-15 janganlah diulangi politik fitnah dan kebencian seperti PRU-14 kerana akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
”Saya jelaskan disini, jangan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu tuduhan dan dakyah yang dibawa. Kaji dan selidiki dahulu setiap berita dan cerita yang disebarkan, jika malas mahu mencari kebenaran, jangan pula kita rajin menyebarkan kepalsuan.
”Dosa yang ada pun tidak tertanggung dan belum tahu telah diampun, jangan ditambah dosa lagi sampai bertimbun-timbun. Kecuali mereka itu terlupa atau buat-buat lupa ketika ini bulan Ramadan, Allah S.W.T jua yang mengetahui segala-galanya,” nasihat Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette