Home Nasional Dua remaja parah SUV terbabas

Dua remaja parah SUV terbabas

Bomba BBP Shah Alam turun mengeluarkan pemandu Proton X70 yang tersepit selepas terbabas di Lebuh raya persekutuan semasa kejadian pagi tadi.Ihsan Bomba Selangor

SHAH ALAM – Dua remaja lelaki cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 12.3 Lebuhraya Persekutuan arah Klang lalu melanggar pembahagi jalan awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan tentang kemalangan tersebut pada jam lebih kurang 12.49 pagi.

“Bertindak atas panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam telah bergegas bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di tempat kemalangan jam jam 12.55 pagi dan hasil pemerhatian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki empat remaja lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat awal yang diterima, kenderaan tersebut telah terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, pemandu dan salah seorang penumpang, masing-masing berusia 17 tahun tersepit di bahagian hadapan.

“Kedua mangsa yang tersepit kemudiannya berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan kecemasan dengan kadar segera.

“Kedua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.

“Bagaimanapun dua lagi rakan mangsa berusia 16 dan 18 tahun yang duduk di belakang pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan siasatan kemalangan masih dijalankan.

Tambah beliau, siasatan awal pegawai penyiasat berdasarkan saksi di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu SUV yang dipandu di lorong kanan bertukar laluan ke lorong tengah bagi memberi laluan kepada kenderaan di belakang.

“Semasa sedang menukar laluan, Proton X70 itu telah berpusing dan terbabas sendiri melanggar penghadang jalan di sebelah kiri jalan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 – memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Bin Razak di talian 019-4475767. – MalaysiaGazette