Home Nasional Basikal lajak: Sam Ke Ting dibenar tangguh hukuman penjara, denda

Basikal lajak: Sam Ke Ting dibenar tangguh hukuman penjara, denda

Pegawai penjara membawa keluar Sam Ke Ting selepas Mahkamah Rayuan membenarkan kerani wanita tersebut menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan seorang pemandu wanita, Sam Ke Ting terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bharu pada 13 April lalu.

Mahkamah itu memerintahkan Ke Ting menjalani hukuman penjara 6 tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu.

Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Ketika membenarkan rayuan itu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ravinthran Paramaguru bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Ghazali tiada bantahan terhadap dua permohonan Ke Ting , 27, termasuk rayuan dan jaminan.

Mahkamah membenarkan permohonan beliau untuk mengekalkan jumlah dan syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Johor Bharu pada 10 Oktober tahun lalu iaitu RM10,000 dengan seorang penjamin iaitu ahli keluarga.

Panel tiga hakim juga memerintahkan peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili wanita tersebut mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari kepada Mahkamah Tinggi Johor Bharu bagi pengurusan kes terbabit.

Terdahulu, ketika prosiding yang bermula jam 9.30 pagi tadi, Sam yang mengenakan baju kurung berwarna biru bercorak bunga putih kelihatan tenang di kandang tertuduh dan ditemani ahli keluarga termasuk ayah dan adik-beradik.

Peguam, Muhammad Faizal Mokhtar hadir ke Mahkamah Rayuan untuk melakukan permohonan rayuan terhadap anak guamnya, Sam Ke Ting bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan peguam Muhammad Faizal mengemukakan enam persoalan undang-undang yang penting dan berkepentingan awam yang perlu dijawab secara permohonan lisan di hadapan panel tiga hakim itu.

Antaranya sama ada keterangan tidak bersumpah oleh tertuduh boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaan dan turut disokong dengan keterangan lain.

Selain itu, persoalan kedua ialah sama ada intipati utama kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya pencipta situasi berbahaya berpunca daripada tertuduh atau kumpulan basikal.

“Persoalan ketiga kebolehterimaan Eksibit D206 (Kenyataan Beramaran), P209 dan P210 (laporan polis) apabila pembuat tidak dipanggil memberi keterangan.

“Persoalan keempat pula sama ada inferens dan dapatan tentang kelajuan motokar tertuduh boleh dianggap berbahaya berbanding kedudukan kumpulan basikal di laluan utama jalan tersebut,” katanya.

Muhammad Faizal turut mempersoalkan sama ada wujud beban atas tertuduh untuk membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

“Persoalan ditimbulkan sama ada wujud beban atas tertuduh untuk menjangkakan risiko yang tidak boleh dijangka khususnya di sebalik bukit yang berselekoh dan gelap,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Faizal memberitahu mahkamah, nota keterangan tidak sempat diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Johor Bharu susulan kekangan masa operasi pejabat sehingga jam 3 petang, memandangkan perintah pemenjaraan terhadap Ke Ting pula dibuat pada Rabu lepas.

Peguam juga memberitahu, tempoh itu menyukarkannya untuk bertemu dengan anak guamnya yang ditempatkan di Penjara Kluang, Johor.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru pada 13 April lalu memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 di atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Baru, pukul 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Sam sebelum ini telah dibebaskan dua kali oleh Mahkamah Majistret. – MalaysiaGazette