PETALING JAYA – Seorang pemuda berumur 20 tahun dari Johor Bahru yang diselamatkan dari Kemboja baru-baru ini menceritakan pengalamannya selama bekerja dengan sindiket penipuan selama hampir setengah tahun.
Mangsa itu asalnya bekerja di Singapura sebagai pereka grafik tetapi meletak jawatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk pulang ke tanah air.
Katanya, pada 14 Oktober tahun lalu, dia terlihat iklan jawatan kosong di kasino di Kemboja pada Facebook dan kemudian ditawarkan gaji AS$1,700 (RM7,100), asrama yang cantik dan kerja lapan jam sehari.
Namun segala janji itu tidak ditunaikan dan akhirnya hanya diberikan RM1,000 sebulan yang dimasukkan ke dalam kad tunai dan jumlah itu juga boleh dipotong sekiranya pekerja melakukan kesalahan.
Disebabkan makanan yang tidak memuaskan, pekerja akan menghabiskan semua gaji dalam tempoh dua minggu untuk membeli makanan yang sangat mahal dalam sebuah restoran di bawah tempat kerja.
Katanya, sindiket itu mempunyai pelbagai ‘jabatan’ yang memfokus kepada ‘pasaran’ berlainan dan dia ditugaskan untuk mencari mangsa dari Amerika Syarikat.
“Sindiket akan menyediakan 10 telefon bimbit setiap hari dan tugas kami adalah memancing mangsa melalui media sosial.
“Kami menyamar sebagai perempuan dan berbual dengan 10 hingga 20 mangsa setiap hari sebelum memujuk mereka melabur dalam akaun kriptowang.
“Setelah membuka akaun, kami akan menjerat mereka untuk menyertai platform kami,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian akan diberikan “gula-gula” supaya mereka percaya akan menerima keuntungan yang berterusan.
“Bergantung kepada penilaian terhadap seseorang mangsa, bos kami malahan akan memujuk mangsa untuk membuat pinjaman bank atau menjual rumah untuk melabur dalam platform kami.
“Kami akan menggunakan pelbagai cara untuk menyakinkan mangsa tentang ‘skim yang menguntungkan’ supaya mereka menghantar semua duit kepada sindiket,” katanya.
Menurutnya, prestasi setiap pekerja dipantau dan mereka yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan perlu kerja lebih masa.
“Setiap orang perlu mendapat AS$30,000 sebulan dan mereka yang tidak mencapai target akan dipaksa kerja 16 jam malahan 18 jam sehari.
“Dalam keadaan biasa pula, kami bekerja 12 jam sehari, bukan lapan jam yang dijanjikan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette