Home Pendapat Teguhkan kekuatan umat Islam tentang kezaliman Israel

Teguhkan kekuatan umat Islam tentang kezaliman Israel

Tentera pejuang Hamas. foto Reuters

KEBIADAPAN bangsa yang dilaknat oleh Allah SWT berulang kembali pada 13 Ramadhan di Masjid Al-Aqsa, tanah suci umat Islam di bumi Palestin. Keangkuhan dan kesombongan bangsa terkutuk ini sengaja ditonjolkan lebih-lebih lagi ketika memasuki bulan suci bagi umat Islam.

Sejarah dunia tidak pernah lupa kebiadapan entiti haram ini menjajah negara Palestin dengan cara tidak sah melalui penipuan, penyelewengan dan penindasan. Kini negara haram Israel dilihat cuba untuk menunjukkan kuasa mereka dengan membantai ratusan umat Islam Palestin yang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

Pertempuran terbaru berlaku selepas tiga minggu keganasan maut di Israel dan Tebing Barat yang diduduki dan ketika perayaan Paskah Yahudi dan Paskah Kristian bertindih dengan Ramadan, bulan suci umat Islam berpuasa. Terkini, sebanyak 152 rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat keganasan pihak berkuasa Israel yang menyerang penunjuk perasaan Palestin yang bertempur dengan polis Israel buat kali pertama sejak permulaan Ramadan di perkarangan masjid Al-Aqsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah menyuarakan kebimbangan mengenai situasi keselamatan yang semakin merosot di Baitulmaqdis dan menggesa pihak berkaitan meredakan ketegangan. Beliau menegaskan provokasi di tapak suci itu, mesti dihentikan bagi mengelakkan ketegangan lebih parah, namun pihak Zionis sama sekali tidak mengendahkan arahan daripada badan dunia tersebut.

Itulah realiti kebiadaban bangsa terkutuk ini. Tindakan pihak zionis ini jelas menunjukkan jenayah perang yang mereka lakukan secara terang-terangan di siang hari. Malaysia melalui Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan pendirian tegas dengan mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel ke atas penduduk dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa. Malaysia juga meminta masyarakat antarabangsa bersama-sama memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik berpanjangan Israel-Palestin.

Sebagai negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia juga mengulangi komitmen akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Asia Barat. Pada masa sama, sokongan tidak berbelah bagi dizahirkan kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel, merealisasikan aspirasi menubuhkan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra 1967, dan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Di samping semua tindakan protes yang telah ditunjukkan oleh negara-negara Islam dan masyarakat dunia, umat Islam sendiri perlu memperteguhkan kekuatan dan solidariti dalam menghadapi keangkuhan rejim zionis ini. Seluruh umat Islam perlu menggembleng seluruh kekuatan yang dimiliki iaitu melalui tindakan kebersamaan yang melibatkan solidariti umat Islam seluruh dunia.

Dengan kekuatan umat Islam yang mencecah 1.9 billion seluruh dunia dan merupakan agama kedua paling ramai penganut di dunia, pastinya tindakan yang bersifat solidariti bersama akan memberikan impak kepada Israel, sekutunya dan seluruh dunia.

Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa keangkuhan Israel ini boleh dihancurkan dengan strategi yang mengena dan menyeluruh melalui solidariti umat Islam dan juga masyarakat dunia. Secara asasnya, terdapat tiga strategi utama yang boleh dilaksanakan segera iaitu ekonomi, media sosial dan kebajikan.

Pertama, kekuatan ekonomi umat Islam sememangnya mampu memberikan kesan kepada ekonomi dunia, khususnya pihak Israel. Kempen-kempen pemboikotan produk-produk keluaran Israel dan sekutunya perlu digerakkan semula secara besar-besaran. Memang diakui, kempen sebegini dilihat lebih bersifat bermusim, namun sekiranya ia digerakkan secara berstrategi dan menyeluruh, pastinya akan memberi kesan yang lebih kuat.

Kempen boikot ini perlu dilaksanakan sebanyak tiga kali setahun atau setiap empat bulan dengan memfokuskan kepada produk-produk yang tertentu sahaja. Dengan strategi pemboikotan yang bersasar, ia mampu melumpuhkan ekonomi konglomerat Israel sekaligus menghapuskan penguasaan ekonomi mereka.

Kedua, kempen media sosial amat penting dan menjadi medium utama kepada penyampaian maklumat di seluruh dunia. Walaupun media sosial utama dunia dikuasai oleh Israel seperti twitter, Instagram dan facebook, namun dengan kekuatan solidariti umat Islam berjumlah 1.9 billion ini, ia mampu menggegarkan dunia dan mendedahkan kezaliman Israel kepada penduduk Palestin.

Pastinya terdapat usaha pihak Israel untuk memadamkan maklumat berkaitan Palestin daripada rangkaian media sosial yang dikuasai mereka, namun dengan strategi dan kreativiti umat Islam seluruh dunia, isu ini akan berjaya dibangkitkan di persada dunia.

Kesedaran ini penting bagi memastikan seluruh masyarakat dunia mendapat maklumat yang telus dan tepat, walaupun cuba disembunyikan oleh Israel dan sekutunya. Simpati dan kesedaran masyarakat antarabangsa akan memberikan tekanan yang hebat kepada Israel untuk menghentikan kezaliman dan penindasan mereka kepada penduduk Palestin.

Ketiga, solidariti kebajikan umat Islam perlu digerakkan sepenuhnya di seluruh dunia bagi membantu rakyat Palestin. Saudara seakidah kita di Palestin sangat memerlukan bantuan umat Islam seluruh dunia. Mereka tidak memilih untuk berada di sana, namun mereka memikul tanggungjawab besar mewakili umat Islam bagi mempertahankan bumi Al-Aqsa daripada dijajah oleh zionis Israel.

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk berjihad bersama rakyat Palestin. Salurkanlah sumbangan jihad kita melalui saluran-saluran bantuan terus kepada rakyat Palestin.

Di Malaysia, terdapat puluhan NGO yang mempunyai hubungan langsung dengan umat Islam di Palestin. Sumbangan daripada umat Islam walaupun nilai RM1 sahaja akan menjadi besar dan kuat lantaran solidariti dan kebersamaan yang akan menghasilkan impak yang berganda.

Umat Islam di seluruh dunia diseru untuk bersama-sama menyumbangkan dana bagi membantu rakyat Palestin. Sekiranya seluruh umat Islam di dunia menyalurkan bantuan kewangan, pastinya negara haram Israel akan musnah akibat daripada kekuatan dan sokongan kewangan umat Islam seluruh dunia.

Keangkuhan yang ditunjukkan oleh rejim Israel ini pastinya tidak akan kekal lama dan akan musnah akhirnya. Penyelesaian hanya akan diperoleh melalui keteguhan kesatuan dan soladiriti umat Islam seluruh dunia kepada Palestin. Di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, umat Islam mampu menggunakan “senjata” doa bagi menghancurkan Israel laknatullah ini.

Marilah kita bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT di bulan Ramadhan ini untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam Palestin, diberikan kekuatan kepada umat Islam seluruh dunia serta memohon kepada Allah SWT yang Maha Perkasa untuk menghancurkan Israel dan sekutunya.

Umat Islam juga perlu melazimi Qunut Nazilah di dalam solat-solat mereka untuk memohon bantuan daripada Allah SWT agar memberikan kekuatan dan kemenangan kepada umat Islam di seluruh dunia. Doa, rintihan dan munajat seluruh umat Islam untuk Palestin pasti Allah SWT tidak akan sia-siakan.

Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu agama Islam, khususnya melibatkan isu umat Islam Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk istiqamah dalam perjuangan membantu Palestin sehingga ke akhir hayat sebagai mukmin.

Hulurkanlah apa sahaja bantuan yang termampu, agar apabila kita disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti apa sumbangan kita kepada bumi suci Palestin, maka kita mempunyai jawapan yang tuntas mengenainya. Marilah kita bersama membantu umat Islam di seluruh dunia kerana umat Islam itu bersaudara, ibarat pepatah Melayu, “Cubit paha kiri, paha kanan juga terasa”.

Oleh: Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor