KITA baru sahaja melepasi tanggal separuh Ramadan, satu bulan yang suci buat Muslim dan turut diraikan oleh Bukan Muslim dengan cara tersendiri di Malaysia. Dalam tempoh yang singkat ini, netizens di Malaysia cukup sibuk dengan isu-isu yang tidak kunjung padam. Rasanya netizens di negara lain mungkin tidak sesibuk netizens di Malaysia. Antara isu yang selalu bikin panas adalah isu berkaitan identiti, agama dan kaum. Cukup rencah dan perasa, maka tularlah isu tersebut dengan pelbagai reaksi berkaitannya. Ada isu yang mendapat perhatian meluas hingga pak-pak menteri terpaksa keluarkan kenyataan atau buat-buat sibuk turun padang; dan ada juga isu yang suam-suam kuku dan basi begitu sahaja.
Kita mulakan babak awal Ramadan kali ini dengan isu larangan waktu operasi restoran sebelum pukul 3 petang, penutupan kantin sekolah, komen Timbalan Menteri Perpaduan mengenai satu kumpulan etnik yang memerlukan ‘pelindung’ dan juga diskriminasi kaum di dalam bidang pekerjaan dan hartanah. Kekerapan isu identiti, agama dan kaum dimainkan dalam tempoh yang singkat ini di dalam bulan Ramadan – sepatutnya dalam bulan-bulan yang lain pun tak patut berlaku – wajar mengetuk fikiran kita mengenai persoalan-persoalan seperti: “Kenapa perkara ini berlaku?; kenapa orang itu buat begitu begini?; siapa yang mendapat untung dari perkara ini?; dan siapa yang menjadi mangsa dalam situasi-situasi tersebut?”
Bagi sebuah masyarakat yang sudah biasa menyaksikan episod-episod pertelingkahan antara kaum, sudah tentu insiden-insiden yang berlaku di awal Ramadan yang disenaraikan di atas ini tidak kelihatan pelik atau ajaib lagi. Oleh kerana ianya kerap berlaku, kita mungkin sudah lali, tidak ambil kisah dan mungkin juga menganggap perkara tersebut merupakan norma di Malaysia. Kalau pun kita bercakap mengenainya, siapa yang kisah? Dan apa perubahan yang akan berlaku hasil dari perbualan kita itu, kan?
Situasi tidak kisah itu mungkin boleh kita fahami dengan istilah ‘apati’, yakni menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membawa maksud: “Sikap tidak menaruh minat atau sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian”. Sikap apati ini ada asasnya untuk dirasai oleh kita – rakyat biasa ini – dengan rasa kelemahan dan tidak berdaya untuk membawa perubahan. Biarpun dengan sikap apati yang berleluasa di dalam segenap ceruk kehidupan bermasyarakat kini, kita yang marhaen ini wajar beri perhatian terhadap salahguna isu identiti, agama dan kaum oleh mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri kerana salahguna ini dapat membawa kepada diskriminasi kaum atau mengukuhkan diskriminasi kaum sedia ada.
‘Diskriminasi kaum’ ini apa pula? Mengikut piawaian antarabangsa, apabila berlakunya keputusan-keputusan kerajaan, amalan pihak swasta mahupun sekumpulan rakyat yang mempunyai elemen pilih kasih, membeza-bezakan, mengehadkan atau menyingkirkan individu atau sekelompok masyarakat tertentu berdasarkan kaum, warna kulit, keturunan atau kewarganegaraan, itulah yang dikira sebagai ‘diskriminasi kaum’. Eh jauh sangat sampai petik ‘piawaian antarabangsa’ pula kan? Jangan risau, di peringkat tempatan pula, Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada juga menyentuh mengenai diskriminasi kaum ini melalui Perkara 8(2). Sekurang-kurangnya kita tahu dan maklum bahawa diskriminasi kaum ini menjadi tumpuan di peringkat global dan juga tempatan.
Para pelaku diskriminasi kaum ini mempunyai pelbagai watak, dari kalangan pemimpin di atas sana, para birokrat dalam pentadbiran awam, para pedagang di sektor swasta dan mereka yang berselindung di balik akaun media sosial. Mereka ini pula tidaklah hanya sinonim dengan warna kulit tertentu, bahkan mempunyai latar belakang etnik yang pelbagai. Mereka tidak hanya tinggal di Semenanjung Malaysia, mereka juga berada di setiap belahan bumi tercinta ini hingga ke Sabah dan Sarawak.
Korban dalam kerakusan para pelaku ini – tidak lain dan tidak bukan – adalah kita yakni rakyat kebanyakan ini. Sebagai mangsa, kesan diskriminasi kaum ini ada pelbagai dan mungkin kesan yang paling signifikan adalah kegagalan dalam meneroka dan membangunkan potensi diri/segolongan masyarakat. Kesan ini jelas kelihatan susulan dari maksud diskriminasi kaum yang disebutkan sebelum ini. Dan secara keseluruhannya, kegagalan ini (meneroka dan membangunkan potensi diri) ini akan mengakibatkan kesan domino dalam pelbagai ruang kehidupan individu/segolongan masyarakat tertentu termasuklah pendidikan, ekonomi dan politik.
Dan dalam segala perihal isu diskriminasi kaum ini, hal yang lebih mendasar adalah terjejasnya peluang seseorang atau segolongan masyarakat untuk menikmati sepenuhnya hak asasi mereka seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia. Idea hak asasi manusia ini bukanlah satu perkara yang asing di Malaysia – ini barangkali untuk perbincangan di lain masa – bahkan, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang diluluskan oleh Parlimen mengabsahkan komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.
Oleh yang demikian, adakah wajar untuk kita hidup bersenang-lenang sedangkan ada saudara senegara kita yang melalui waktu-waktu sukar di dalam kehidupan mereka akibat gagalnya mereka menikmati hak asasi mereka sebagai rakyat Malaysia akibat kesan dari amalan diskriminasi kaum yang terpaksa mereka tempuhi. Banyak insiden diskriminasi kaum yang telah dilaporkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media – termasuk analisa dari ahli akademik – yang dapat menjadi sandaran kepada keadaan yang kita alami kini. Berbalik kepada sikap apati yang disentuh tadi, rakyat Malaysia sec ra amnya tidak dapat lari dari memberikan perhatian terhadap isu penyalahgunaan identiti, kaum dan agama oleh para pelaku yang disebutkan.
Kegagalan kita sebagai rakyat dalam memastikan para pelaku itu mengambil tanggungjawab terhadap kesalahan mereka akan menyebabkan amalan dan kesan diskriminasi kaum akan terus mengakar dan berkekalan di dalam negara ini. Solusi untuk sikap apati yang disebutkan sebentar tadi? Mungkin di bulan Ramadan yang mulia ini – dan di bulan-bulan berikutnya – selain dari melakukan perbuatan baik untuk manfaat peribadi dan komuniti terdekat, mari kita perluaskan amalan baik bagi melingkupi kepedulian sosial kita terhadap isu perkauman dan diskriminasi kaum yang telah lama mengakar di negara kita ini.
Oleh: Awang Ilham kini berkhidmat di Pusat KOMAS, sebuah NGO hak asasi manusia yang melakukan advokasi bagi menangani isu perkauman dan diskriminasi kaum.
Artikel ini tidak menggambarkan pendirian Pusat KOMAS