MELAKA – Ramadan dan bubur lambuk seakan sudah sinonim bersama, namun sebuah persatuan penduduk di sini mencipta kelainannya yang tersendiri.
Buat pertama kalinya, mereka memilih untuk mengagihkan 110 pek asam pedas daging dan tetel atau dikenali gerang asam yang sememangnya terkenal sebagai menu wajib penduduk di negeri ini.
Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Asean, Malim, Mohd Zairi Mohd Yusop berkata, kelainan itu ‘lahir’ setelah 16 tahun mengekalkan tradisi mengedarkan bubur lambuk setiap minggu sepanjang Ramadan.
“Setelah berbincang, kami ahli jawatankuasa (AJK) persatuan penduduk dan AJK Surau Taman Asean 2 sepakat mencipta kelainan selepas rata-rata penduduk memaklumkan terlalu banyak dapat bubur lambuk dari masjid dan surau.
“Untuk mengelakkan pembaziran, kami terfikir mengapa perlu terikat dengan tradisi lama dan tidak infakkan gerang asam yang sememangnya terkenal di Melaka sebagai juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya sebagai permulaan, seramai kira-kira 15 penduduk bergotong royong memasak 20 kilogram daging dan tetel serta 10 kilogram beras yang dapat diinfakkan kepada 110 penerima.
“Memandangkan ini baharu tahun pertama, kami cuba yang terbaik kerana masing-masing tiada pengalaman menyediakan masakan gerang asam untuk lebih 100 orang makan.
“Namun alhamdulillah, berkat perkongsian resepi sendiri, hidangan terkenal Melaka ini dapat diagihkan sebelum waktu berbuka, malah ia juga boleh dijadikan lauk pada waktu sahur,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan sambutan baik yang diterima, masakan gerang asam itu akan diteruskan setiap minggu sehingga akhir Ramadan ini.
“Tapi tahun depan, mungkin kami akan selang selikan juga dengan masakan lauk lain seperti sup untuk mengelakkan penduduk muak sehingga berlaku pembaziran.
“Ramadan memang bulan bersedekah, tapi kami tidak mahulah ia disalahguna menjadi ‘lubuk’ pembaziran pula,” katanya. – MalaysiaGazette