PUTRAJAYA – Perjuangan Sam Ke Ting untuk menuntut keadilan bagi dirinya di Mahkamah Rayuan bukan isu perkauman, sebaliknya ia menjurus kepada isu sejagat.
Peguam Muhammad Faizal Mokhtar berkata, Ke Ting melahirkan rasa kecewa apabila ada pihak menyalahkan sistem kehakiman sebaik sahaja dia tewas di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 3 April lalu.
“Bagi Sam Ke Ting, dia percaya kepada kedaulatan undang-undang dan dia akur kepada sebarang keputusan mahkamah
“Apabila dia kalah saja, ada pihak kata sistem kehakiman rosak.
“Isu yang Ke Ting faham adalah tentang nilai nyawa manusia. Ia bertembung dengan kebebasan seseorang tertuduh,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Tambah Faizal, selagi Ke Ting tidak dibuktikan bersalah, dia tidak boleh dipenjarakan, apatah lagi untuk mendapatkan hak merayu di Mahkamah Rayuan.
“Bagi pihak pendakwa raya, mereka memperjuangkan isu tentang nilai manusia.
“Kita semua faham kes ini memang sukar difahami bagaimana lapan remaja boleh meninggal dunia.
“Kedua-dua isu sejagat, sesiapa pun menang, sama ada dia didapati bersalah atau pun dilepaskan dibebaskan, yang menang adalah rakyat Malaysia.
“Bukan perjuangan individu, bukan perjuangan peribadi Sam Ke Ting,” jelasnya.
Faizal turut berkongsi keterangan tidak bersumpah Ke Ting, antara lain dia berkali-kali mengatakan sangat bersimpati terhadap kehilangan ahli keluarga yang terlibat.
“Dia memperjuangkan kebebasan bahawa, saya juga percaya kebebasan saya sangat berharga dan mesti dibayar dengan harga yang mahal.
“Dalam kes ini, Sam Ke Ting bayar dengan penjara (hukuman), itu harga yang dia faham dan perlu bayar,” katanya. – MalaysiaGazette