PASIR GUDANG – “Alhamdulillah, rezeki Allah itu luas di mana-mana pun ada,” kata Mohd Khairul Hood.
Bapa kepada pemain perseorangan wanita negara, Myisha, yang menjuarai permainan dalam Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen, kelmarin menyifatkan kemenangan anaknya itu membuahkan hasil dengan masa dan wang ringgit yang dikorbankan selama ini selama ini bagi melatih anak perempuannya itu dalam sukan badminton secara profesional sejak berusia sembilan tahun.
Semalam Myisha dengan ranking 328 dunia mengenepikan rakan senegara Siti Nur Suhaini Azman dengan 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi final.
Bagaimanapun Mohd Khairul berkata, masih banyak yang harus diperbaiki oleh puteri tunggalnya itu.
Mengimbas kembali detik awal anak kedua daripada tiga beradik itu mula meminati sukan badminton, beliau memberitahu, Myisha bersungguh-sungguh mahu mempunya jurulatih sendiri.
“Perasaan saya sebagai bapa mestilah gembira, Alhamdulillah kemenangan ini adalah satu kepuasan sebenarnya dan penat lelah termasuk berkorban wang ringgit mendidik Myisha sejak kecil akhirnya membuahkan hasil sudah pasti membanggakan kami sebagai ibu bapa.
“Jika diikutkan semua ini tak dapat dibayar dengan wang ringgit dan Myisha berjaya sehingga menjadi juara di peringkat dunia semuanya sebenarnya atas kesungguhan dan disiplin diri sendiri.
“Bayangkanlah, pada usia sembilan tahun Myisha waktu itu mengikut abangnya (Hud Hadzmi) berlatih badminton merayu-rayu supaya dibelikan raket badminton dan dia sendiri berlari ke arah jurulatih Kabir Mahmud mengatakan mahu belajar bermain badminton.
“Kabir kemudian berjumpa saya mengatakan tidak pernah dia jumpa seorang budak kecil beria-ia seperti Myisha berani datang menemuinya mahu belajar badminton,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.
Kata Mohd Khairul, selepas insiden itu Kabir menawarkan beliau untuk melatih Myisha dalam sukan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau ketika itu agak keberatan untuk membenarkannya memandangkan usia anaknya itu masih kecil.
“Mula-mula saya agak keberatan mendengar pelawaan jurulatih itu bagi mengajar anak saya kerana dia masih kecil dan perempuan pula, tetapi akhirnya saya izinkan hinggalah dia berguru dengan beberapa jurulatih termasuk Misbun Sidek sepanjang dia membesar,” katanya.
Myisha mula menyinar dalam sukan badminton selepas memenangi kategori bawah 12 tahun pada Kejohanan Badminton Tertutup di Larkin pada usianya 10 tahun.
Katanya, beliau terharu dan berterima kasih dengan semua pihak yang tidak putus membantu, menyokong dan memberi semangat kepada mereka sekeluarga dari dahulu sehingga Myisha meraih kejuaraan pertama dunianya malam tadi.
“Cuma hasrat saya sebagai bapa, ingin melihat sukan dan pelajaran Myisha bergerak seiring, ketika ini dia mungkin masih muda dan bertenaga mahu menjadi pemain badminton mewakili negara.
“Saya berharap Myisha diberi peluang bagi menyambung pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Sains Sukan selepas permohonannya ditolak sebelum ini kerana subjek matematiknya tidak mendapat kredit bagi program kemasukan khas untuk atlet negara,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul juga berterima kasih kepada kerajaan negeri Johor atas pemberian wang tunai sebanyak RM10,000 kepada anaknya itu.
Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata, berharap kemenangan itu dapat menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia.
Sementara itu, Myisha yang dijangka tiba di tanah air petang ini berkata, kemenangan itu akan menyuntik semangat dalam perlawanan akan datang.
“Saya harap saya dapat kekalkan momentum dan menjadi lebih baik di permainan akan datang,” katanya.
Myisha juga akan beraksi pada saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand dalam 8 hingga 15 Mei depan. – MalaysiaGazette