PUTRAJAYA – Seramai 13 anggota Jawatankuasa Belia Untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi menerima surat lantikan hari ini.
Daripada 13 anggota jawatankuasa berkenaan, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid merupakan muka baharu.
Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, jawatankuasa yang telah ditubuhkan sejak 2018 itu akan membuncangkan pelaksanaan dasar luar negara khususnya melibatkan golongan belia.
“Mereka semua ada pengalaman masing-masing dalam kegiatan antarabangsa.
“Objektif jawatankuasa ini bagi Kementerian Luar Negeri adalah membantu dan menggalak penglibatan belia dalam isu antarabangsa,” katanya ketika sidang media mengenai pelantikan Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, konflik Ukrain dengan Rusia dan isu keselamatan bekalan makanan antara yang bakal dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan yang akan bermesyuarat pada Rabu ini.
“Mereka juga akan menyeneraikan aktiviti-aktiviti utama termasuklah program belia antarabangsa sepanjang setahun akan datang yang ingin mereka laksanakan,” tambahnya.
Terdahulu, keanggotaan Jawatankuasa Belia Untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi ditetapkan untuk tempoh dua tahun.
Sementara itu, Saifuddin berkata, sebanyak 20 jawatan Ketua Perwakilan Malaysia Ke Luar Negara bakal diisi tahun ini.
Jelasnya, kekosongan berkenaan disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang mengakibatkan pergerakan terbatas selama dua tahun.
Selain itu, katanya, persaraan oenyandang terdahulu juga menjadi salah satu faktor.
Terdahulu kekosongan jawatan berkenaan antaranya melibatkan Ketua Perwakilan Malaysia ke Amerika Syarikat, Indonesia, Jerman dan Jepun. – MalaysiaGazette