Home Nasional Kutip sampah dalam sungai bukan untuk raih politik murahan – Aktivis MCA

Kutip sampah dalam sungai bukan untuk raih politik murahan – Aktivis MCA

Chin Woon mengutip sampah dalam Sungai Pinang pada Khamis lalu mengundang kecaman dan serangan politik. - Gambar FB MCA Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang aktivis parti MCA meluahkan rasa sedih dan kecewanya apabila didakwa meraih politik murahan oleh pemimpin DAP negeri ini susulan tindakannya terjun ke dalam Sungai Pinang di sini untuk mengutip sampah pada minggu lalu.

Cheah Chin Woon berkata, tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai menjaga kebersihan alam sekitar khususnya sungai.

Bagaimanapun katanya, dia mendapat pelbagai kritikan negatif daripada pemimpin DAP Pulau Pinang serta netizen yang menyifatkan tindakannya itu lebih berunsurkan motif politik berbanding mengetengahkan isu menjaga kebersihan alam sekitar.

Chin Woon.

“Saya tidak tiru tindakan mana-mana pihak untuk terjun ke dalam sungai bagi tujuan pembersihan dan suka saya jelaskan di sini idea itu datang dari saya 14 tahun lalu dan diterjemahkan oleh pemimpin DAP pada tahun 2008.

“Jika ramai sangsi dengan kenyataan ini, mereka boleh tanya sendiri pemimpin DAP untuk mengetahui hakikat sebenar daripada menyerang saya serta ahli keluarga secara peribadi di media sosial.

“Saya amat kecewa kerana tindakan untuk menjaga alam sekitar dipolitikkan hingga menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang ahli perniagaan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA negeri di Jalan Transfer di sini, hari ini.

Tambah Chin Woon, dia tidak memihak kepada parti dalam mengetengahkan isu kebersihan alam sekitar malah kerap menyertai gotong-royong yang dianjurkan DAP negeri.

Katanya, sebelum mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sungai tersebut dia menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari serta menghantar baju yang dilukisnya membabitkan isu alam sekitar di Pulau Pinang kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow namun tiada respons daripada pihak mereka.

“Berdasarkan apa yang telah berlaku sehingga hari ini, saya nekad tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencemaran sungai di negeri ini kerana sesetengah pemimpin DAP suka menyerang apabila seseorang itu membawa perkara untuk kebaikan bersama.

“Namun, saya akan meluangkan masa setiap kali tarikh ulang tahun  kelahiran saya iaitu 27 Mei untuk membersihkan sungai dan saya harap ia diamalkan oleh semua masyarakat dengan matlamat memastikan sungai kita bersih daripada sampah sarap serta pencemaran,” katanya.

Chin Woon menunjukkan gambarnya mengutip sampah dalam Sungai Pinang selain gimik kumpul barang kitar semula untuk mendidik masyarakat pada sidang media di Wisma MCA Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Chin Woon berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang suka membuang sampah hingga mengakibatkan pencemaran.

“Penguatkuasaan sedia ada perlu diketatkan lagi agar dapat mendidik genarasi akan datang untuk mencintai alam sekitar dan sungai,” jelasnya.

Pada Khamis lalu, Chin Woon dilaporkan meluangkan masa kira-kira 30 minit dalam Sungai Pinang untuk mengutip sampah.

Selain dirinya, tujuh aktivis MCA turut serta dalam gotong royong itu namun mereka dilaporkan hanya mengutip sampah di kawasan tebing sungai. – MalaysiaGazette