Home Politik Pembangkang hasut Orang Asli – Ismail Sabri

Pembangkang hasut Orang Asli – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kegagalan menyiapkan sepenuhnya pengukuran tanah rizab Orang Asli di seluruh negara didakwa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpunca daripada hasutan pihak pembangkang bersama sebuah NGO yang menentang usaha kerajaan pusat tersebut.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu berkata, pengukuran tanah rizab tersebut itu sepatutnya siap pada 30 September lalu tetapi ia tergendala apabila ada beberapa buah kampung Orang Asli yang menentang langkah itu kerana sudah terpengaruh dengan hasutan.

“Pihak kementerian kita akan selesaikan (isu tanah) paling lewat, patut kita sudah selesai bulan hujung bulan September baru-baru ini.

“Sepatutnya kita selesai ukur semua tanah rizab untuk masyarakat perkampungan Orang Asli tapi mungkin ada sedikit sebab kerana ada bantahan… ditempat saya dua kampung tidak setuju kerana pengaruh daripada pembangkang dan NGO, Jaringan ini, masuk ke kampung-kampung pengaruh masyarakat Orang Asli jangan benarkan kerajaan ukur tanah,” kata Ismail Sabri selepas melancarkan bekalan elektrik di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah petang tadi.

Ismail Sabri mendakwa cerita-cerita bohong pembangkang sudah berjaya masuk dalam perkampungan Orang Asli walhal proses pengukuran itu adalah langkah pertama bagi kerajaan mewartakan tanah rizab kepada Orang Asli di seluruh negara.

“Patut dah selesai semua, bila selesai kita nak serah kepada kerajaan negeri untuk diwartakan tetapi kerana cerita-cerita bohong pembangkang, cerita-cerita bohong daripada Jaringan ini dan daripada persatuan-persatuan menentang kerajaan ini akhirnya seluruh isu tanah orang asli seluruh negara tidak dapat diselesaikan dari segi pengukuran tanah segalanya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri sudah mengarahkan KKLW untuk meneruskan juga pengukuran tetapi ia tidak termasuk dalam kampung-kampung Orang Asli yang membantahnya.

“Saya dah buat keputusan, saya dah arahkan kepada ketua pengarah mana-mana kampung tidak setuju diukur kita tinggalkan dahulu.

“Kita tak nak kerana beberapa kampung yang tidak bersetuju ini menyebabkan seluruh Orang Asli dalam Malaysia tidak dapat kita selesaikan ukur tanah mereka kerana dengar cerita bohong daripada pembangkang… wartakan dahulu, jika nak tambahan tanah itu masuk fasa kedua, kita bincang pada masa akan datang,” terang beliau.

Sebanyak 136,000 hektar tanah Orang Asli terlibat dalam pengukuran dan setakat ini sudah 31,000 hektar tanah sudah diukur seluruh negara.

Jelas beliau, langkah pengukuran itu penting kerana ia akan memudahkan untuk kerajaan memberikan pembangunan kepada orang asli seluruh negara.

“Jadi kita sekarang nak ambil balik tanah tersebut nak diberikan kepada masyarakat Orang Asli, ini semua cerita-cerita yang akhirnya merugikan Orang Asli kerana percaya cerita bohong daripada pembangkang.

“Kita kerajaan persekutuan sudah tetapkan nak selesaikan dari segi pewartaan nak selesaikan semua isu api, air dan jalan kerana kita tahu masyarakat Orang Asli memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan projek bekalan elektrik yang menelan belanja RM1.7 juta di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah.

Terdapat seramai 75 penduduk orang asli disitu dengan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) seramai 27 orang daripada suku kaum Temuan.

Bekalan elektrik ke kampung orang asli itu berjaya dilaksanakan melalui kerjasama yang diberikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perhutanan Selangor dan penduduk kampung.

Projek itu dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melibatkan kerja-kerja bekalan elektrik kepada 20 buah rumah orang asli pada Januari 2017 lalu. – MalaysiaGazette

Comments are closed.