PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri mahjis khatam al-Quran sempena sambutan Nuzul Quran peringkat negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haji, Pekan hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tengku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskadariah.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pimpinan exco kerajaan negeri dan ketua jabatan.
Pada majlis tersebut baginda turut membaca al-Quran.
Sejurus selesai acara khatam Al-quran, tahlil dipimpin oleh Mufti Pahang, Datuk Dr. Abdul Rahman Osman manakala ceramah disampaikan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Datuk Badli Shah Alauddin.
Terdahulu, baginda turut berkenan mencemar duli menyempurnakan Program Ziarah Kasih Sempena Ramadan di Beserah, dekat sini.
Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni serta menyerahkan sumbangan kepada lima keluarga asnaf di Kampung Baru Beserah, Kampung Bahagia Beserah dan Kampung Batu Hitam Beserah. – MalaysiaGazette