ANKARA- Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa rakan sejawatannya dari Israel Isaac Herzog supaya tidak membenarkan “provokasi dan ancaman” terhadap status dan kerohanian Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Dalam catatan di Twitter, Erdogan memaklumkan beliau mengadakan perbincangan mellaui telefon dengan Herzog untuk membincangkan isu serantau dan hubungan dua hala terutamanya peristiwa yang disebabkan oleh “beberapa kumpulan radikal Israel dan pasukan keselamatan di Palestin.”
Erdogan memberitahu Herzog beliau “sangat kecewa” apabila rakyat Palestin cedera atau terbunuh dalam insiden di Tebing Barat dan perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sejak permulaan bulan Ramadan pada awal April lalu.
Insiden yang disebabkan oleh puak radikal setiap tahun “menyakitkan hati dan menyebabkan reaksi yang wajar” di seluruh dunia Islam, katanya.
Ketegangan antara Israel dan Palestin semakin memuncak di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak beberapa minggu lalu, terutama pada hari Jumaat ketika perayaan Paskah Yahudi bermula.
Kira-kira 200 rakyat Palestin telah cedera dalam pertempuran baru-baru ini di Baitulmaqdis Timur, terutamanya di perkarangan Masjid Al-Aqsa, lokasi suci kepada umat Islam dan Yahudi.
Beberapa orang Israel juga telah terkorban dalam beberapa serangan maut di Israel.
Perbincangan telefon itu dibuat di tengah-tengah usaha perdamaian yang dilakukan oleh Israel dan Turki, yang hubungannya tegang pada 2010 apabila tentera diketuai Turki yang cuba memecahkan sekatan Israel di Semenanjung Gaza bertempur dengan tentera Israel, menyebabkan 10 warga Turki terkorban.
Turki mengusir Duta Israel ke negara itu pada tahun 2018 selepas Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.
Pada 9 Mac lalu, Herzog mengadakan lawatan ke Ankara, yang mana Erdogan telah menegaskan ”sensitiviti Turki dalam isu Palestin”. – Xinhua (https://english.news.cn/20220420/1a878bfad52c47f99fa2eeeba6ac3806/c.html)