KUALA LUMPUR – Anthony Loke Siew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah menyarankan kerajaan Negeri Sembilan mengambil tindakan segera membentangkan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti di peringkat negeri digubal.
Beliau berkata, dengan adanya akta itu, sistem demokrasi yang lebih sihat akan wujud, sekali gus membolehkan kerajaan negeri memacu pembangunan dan kemajuan sosio ekonomi tanpa gangguan daripada pemimpin yang lompat parti.
Katanya, demokrasi tidak boleh dirosakkan oleh segelintir politikus yang mementikan diri sendiri.
Justeru, kata beliau, undang-undang menyekat perbuatan lompat parti mesti digubal, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tetapi juga di peringkat negeri.
“Saya membawa usul menjunjung kasih Titah Ucapan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang merasmikan Persidangan Penggal ke-5, DUN Negeri Sembilan ke-14 semalam.
“Dalam ucapan usul itu, saya menegaskan sistem demokrasi yang sihat akan memacu pembangunan dan kemajuan sosio ekonomi negara serta negeri kita.
“Saya sarankan kerajaan Negeri Sembilan segera mengambil tindakan untuk membentangkan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri dalam Sidang Khas sekiranya perlu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, politik Negeri Sembilan kekal stabil dan telah mengharungi cabaran selama empat tahun walaupun Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai majoriti empat kerusi dalam DUN.
Anthony turut menyarankan kerajaan negeri itu mewujudkan satu jawatankuasa bertindak untuk menangani masalah perubahan iklim dan portfolio itu perlu diketuai oleh salah seorang Exco.
Kata beliau, perubahan iklim adalah masalah global, tetapi mesti ditangani secara lokal.
“Perubahan iklim telah membawa kepada masalah bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh yang lebih kerap berlaku.
“Kerajaan negeri perlu bertindak dengan lebih pro aktif dalam merangka dasar dan mengambil langkah persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Koordinasi yang lebih baik di antara agensi kerajaan diperlukan dalam kesiapsiagaan bencana,” katanya. – MalaysiaGazette