PENGENALAN Kesultanan Johor adalah salah satu kesultanan yang tertua di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1528, setelah kejatuhan Kesultanan Melaka. Ibu kota kesultanan ini berpindah randah dari satu kota ke kota yang lain di dalam ruang lingkup empayar Johor. Setelah pemisahan Kesultanan Johor-Riau kepada dua kerajaan akibat tekanan dari penjajah Barat pada tahun 1824, Kesultanan Johor yang dipimpin oleh Temenggong Daeng Ibrahim menubuhkan Johor Bahru (ketika itu dikenali sebagai Tanjung Puteri) sebagai ibukota Johor pada 10 Mac 1855.
Johor Bahru menyaksikan beberapa detik bersejarah negara antaranya kemasukan tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, kemerdekaan negara pada tahun 1957 dan Singapura dipisahkan dari Persekutuan pada tahun 1965. Sejak kemerdekaan, Johor
Bahru telah mengalami arus pemodenan dan kini dikenali sebagai kota terbesar di selatan tanah air.
Berbeza dengan ibu kota negeri-negeri lain di Malaysia, Johor Bahru adalah satu-satunya bandar utama yang terletak di perbatasan negara, dengan berjarak lebih kurang 1km ke Woodlands, Singapura. Sudah tentu status sedemikian meletakkan beban luar biasa beratnya kepada bandaraya Johor Bahru, lebih-lebih lagi apabila ianya berdampingan dengan Singapura yang terkenal sebagai sebuah bandaraya yang moden, bersih, tersusun dan rapi.
Pintu masuk utama
Sebelum tercetusnya pandemik Covid-19, Tambak Johor secara purata dilintasi oleh 145,000 kenderaan setiap hari. Walaupun majoriti yang melintasi adalah warga Malaysia yang menetap di Johor Bahru tetapi bekerja di Singapura, terdapat juga pelancong warga asing yang menggunakan laluan ini untuk berkunjung ke Malaysia. Bagi pengunjung-pengunjung asing ini, Johor Bahru adalah bandar raya ‘tanggapan pertama’ – imej pertama negara dilihat menerusi bagaimana Johor Bahru ditata dan diselenggara sebagai pintu masuk utama negara dari arah selatan.
Pihak kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang besar membangunkan Bangunan Sultan Iskandar (di mana pos imigresen Johor Bahru ditempatkan) dilengkapi kemudahan moden yang terintegrasi dengan Stesen Johor Bahru Sentral serta pusat beli-belah yang berdekatan iaitu Johor Bahru City Square (JBCS) dan Johor Bahru City Centre (JBCC), memudahkan pergerakan para pengunjung yang tidak perlu berpanas dan berhujan.
Bagi memberikan kesan yang baik untuk penduduk tempatan dan pengunjung saat tiba di Johor Bahru, pihak kerajaan juga telah membaikpulih dan mengolah semula persisiran Sungai Segget yang membelah bandar raya Johor Bahru ini. Sungai Segget yang
dahulunya ditutup sepenuhnya akibat pencemaran dan bau busuk melampau telah dibongkar semula dan diberikan nafas baru.
Kawasan persisiran Sungai Segget kini terlihat indah lebih-lebih lagi pada waktu malam, hampir setanding dengan projek Sungai Nadi Kehidupan, atau River of Life di Kuala Lumpur. Johor Bahru pernah dimomokkan dengan kadar jenayah yang tinggi sepertimana dilaporkan oleh kebanyakan media Singapura. Inisiatif tegas telah diambil oleh pihak berkuasa dan kini, setakat November 2021, kadar jenayah di Johor telah menurun 40 peratus. Adalah diharapkan kadar jenayah terus menurun dan terkawal apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022.
Menuju banda raya bertaraf antarabangsa, berbudaya dan lestari
Johor Bahru sememangnya sebuah bandar raya yang memiliki potensi yang besar, bukan sahaja sebagai bandar aya industri tetapi juga bandaraya pelancongan mengambil kira kedudukannya yang terletak sangat hampir dengan Singapura. Bagi memberikan tanggapan yang baik pengunjung luar ke atas banda raya yang merupakan pintu masuk utama ke selatan tanahair ini, adalah diharapkan pihak kerajaan dapat mewujudkan zon pemampan seluas 2 atau 3 kilometer radius dari Bangunan Sultan Iskandar yang dijaga, dirawat dan dirapikan dengan teliti, sepertimana yang dilakukan di Tapak Warisan Dunia UNESCO di Bandaraya Melaka.
Jika diperhatikan, kawasan Tapak Warisan Dunia di Melaka di sepanjang Bangunan Stadthuys sehingga ke Kampung Morten dijaga, dirapi dan dirawat dengan baik bagi memberikan kesan bahawa Bandaraya Melaka adalah bandaraya warisan dunia.
Walaupun bandaraya Johor Bahru bukanlah Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti mana Melaka, Johor Bahru memikul tanggungjawab berat sebagai bandaraya ‘imej pertama negara’.
Di sekitar kawasan Bangunan Sultan Iskandar, terdapat beberapa gedung bersejarah seperti Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, rumah-rumah ibadat yang dibina sebelum kemerdekaan serta deretan rumah-rumah kedai dan bangunan-bangunan
berdekatan Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Segget dan Jalan Meldrum. Walaupun gedung bersejarah dan rumah-rumah ibadat ini dirawat dengan baik, deretan rumah-rumah kedai dan bangunan-bangunan ini tidak semuanya diselenggara dengan baik dan acapkali terlihat tidak indah di mata, sekaligus memberikan tanggapan kurang baik bagi sebuah kota yang merupakan pintu masuk utama di selatan negara.
Ini diburukkan lagi dengan pengunjung yang acap kali akan membandingkan bandar raya ini dengan kemegahan Singapura. Bagi memperbaiki situasi ini, seperti yang telah disebutkan adalah dicadangkan pihak berkuasa tempatan mewujudkan zon pemampan seluas 2 atau 3 kilometer radius dari Bangunan Sultan Iskandar yang mana bangunan-bangunan yang terletak di dalam zon ini dijaga, dirawat dan diselenggara dengan baik. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan imej Johor Bahru tetapi juga memberikan kesan ‘tanggapan pertama’ yang baik buat Malaysia.
Selain itu, projek infrastruktur pembinaan sistem transit yang sedang berjalan iaitu Sistem Transit Massa Johor Bahru-Singapura (RTS) sepanjang 4.2km menghubungkan Mandai di Singapura dan Bukit Chagar di Malaysia patut terus disokong dan dipercepatkan demi keselesaan rakyat Johor serta para pengunjung yang melintasi Tambak Johor bagi tujuan bekerja, bercuti ataupun berbelanja. Sampai bila rakyat Malaysia harus berjalan di Tambak Johor seperti yang berlaku pada 1 April 2022 kelmarin?
Kesimpulan
Johor Bahru bukanlah sekadar sebuah ibu negeri, malah sebuah kota yang berbatasan langsung dengan Singapura. Motto bandaraya Johor Bahru adalah ‘Memperkukuh Daya Tahan Johor Bahru Ke Arah Bandar Raya Bertaraf Antarabangsa, Berbudaya dan Lestari’. Oleh itu, usaha memperindah bandar raya Johor Bahru adalah satu usaha yang wajar dilakukan secara berterusan. Inisiatif kerajaan dalam memberikan nafas baharu kepada Sungai Segget yang dahulunya merupakan salah sebuah sungai paling tercemar di Malaysia patut diberikan pujian dan dijadikan contoh dalam pelaksanaan projek-projek naiktaraf yang akan datang.
Sekiranya Sungai Segget dapat dipulihkan dan dijadikan produk pelancongan di Johor Bahru, kenapa tidak kawasan di sekitar pintu masuk utama negara itu dirapikan, dibersihkan dan dijaga secara konsisten dan berterusan selayaknya bandar raya antarabangsa yang disegani.
Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia