Home Seni Hidup Saya tidak kenal, tidak berhutang dengan Nabil – Mawar

Saya tidak kenal, tidak berhutang dengan Nabil – Mawar

Usahawan, Mawar Abdul Karim bercakap pada sidang media berkenaan dakwaan kegagalan membayar hutang berjumlah RM720, 000 di Cheras, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Usahawan wanita, Mawar Abdul Karim menegaskan beliau tidak pernah berhutang sebanyak RM720,000 kepada individu yang dilaporkan baru-baru ini.

Dalam masa sama, beliau mendakwa tidak mengenali dan tidak pernah berurusan secara langsung dengan plaintif yang membuat tuntutan saman terhadapnya iaitu Nabil Mat Jahya.

Terkejut dan hairan dengan tindakan berkenaan, beliau turut tertanya-tanya apakah niat lelaki berkenaan bertindak sedemikian seterusnya menghebahkannya menerusi media pada 12 April yang lalu.

“Saya tiada berhutang dan saya tidak mengenali plaintif dan tidak pernah berurusan dengan dia. Setakat ini, alhamdulillah saya tidak ada masalah kewangan.

“Saya tidak pasti niatnya dengki atau mahu sabotaj perniagaan, itu saya tidak pasti,” katanya ketika sidang media di sini bagi menjawab tuntutan saman yang didakwa oleh individu bernama Nabil.

Usahawan, Mawar Abdul Karim (dua kanan) bersama peguamnya selepas sidang media berkenaan dakwaan kegagalan membayar hutang berjumlah RM720, 000 di Cheras, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2022.

Berdasarkan berita sebelum ini, Mawar dilaporkan bakal diisytihar bankrap sekiranya gagal membayar hutang sebanyak RM720,000 kepada Nabil.

Lelaki berkenaan turut membuat permohonan penghakiman ingkar kepada Mawar sekiranya dia gagal memberikan respons.

Mengulas lanjut Mawar, 33, khuatir tindakan lelaki itu bakal mengundang risiko terhadap keselamatan keluarga dan anak perempuannya Wan Maryam.

Selain itu, beliau juga bimbang dakwaan lelaki itu bakal mengundang persepsi buruk kepada perniagaannya.

“Selepas berita itu, emosi saya terganggu, orang sekeliling saya mula bertanyakan kepada saya adakah ia benar atau tidak.

“Saya sebagai usahawan saya fikirkan keselamatan anak, reputasi perniagaan yang beranggapan saya tidak boleh dipercayai, orang akan anggap saya begitu,” tambahnya.

Dalam pada itu, peguam yang akan mewakili Mawar, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, plaintif membuat permohonan penghakiman ingkar di mahkamah tanpa kehadiran anak guamnya.

Sehubungan itu, pasukan pembelaan usahawan berkenaan akan membuat permohonan untuk mengenepikan permohonan tersebut.

Menurutnya, permohonan berkenaan akan disebut di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, esok.

“Penghakiman ingkar kita tidak ambil ringan kerana kalau tidak diambil apa-apa proses undang-undang bagi menjawab saman itu kepada penghakiman memang ada risiko dan plaintif boleh ambil tindakan undang-undang.,” ujarnya yang tidak menolak kes berkenaan bakal berkembang.

Beliau juga mengesahkan, Mawar sehingga kini menerusi carian insolvensi tidak diisytihark bankrup.- MalaysiaGazette