Home Ekonomi Prestasi suku pertama CIMB dijangka lebih baik

Prestasi suku pertama CIMB dijangka lebih baik

CIMB Bank di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) dijangka mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.07 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2022 yang dijadual diumumkan pada 31 Mei ini.

RHB Research berkata, ini merupakan 22 peratus daripada unjurannya serta konsensus bagi jangkaan tahun kewangan 2022.

“Pertumbuhan 25 peratus bagi suku ke suku dalam teras keuntungan bersih teras akan didorong terutamanya oleh peruntukan lebih rendah sebanyak -42 peratus bagi suku ke suku,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurutnya, kemas kini terbaharu daripada satu mesyuarat penganalisis juga mengunjurkan tiada sebarang kejutan negatif, terutama bagi aspek caj rosot nilai selain terdapat penambahbaikan sederhana dalam operasi asas dengan pihak pengurusan kekal selesa dengan panduan kos kredit mereka.

Bagaimanapun, Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Invesment Bank, pula bimbangkan kemungkinan peruntukan lebih tinggi di tengah-tengah isu pengkreditan berganda serta cabaran khusus industri.

Untuk rekod, kumpulan itu telah membuat peruntukan RM281 juta berkaitan ralat pemprosesan oleh perkhidmatan MoneySend CIMB pada suku keempat 2021 yang melibatkan transaksi pendua akibat kekangan keupayaan pemprosesannya yang sedang giat ditangani oleh kumpulan tersebut.

“Langkah-langkah sedang diambil bagi memaksimumkan usaha mendapatkan semula dana-dana ini dan suku pertama tahun kewangan 2022 dijangka menyaksikan elaun tambahan yang tidak seteruk peruntukan RM281 juta yang diumumkan di atas,” katanya.

Selain itu, CIMB turut menyediakan peruntukan awal bernilai RM2.2 bilion dengan pihak pengurusan menyasarkan penggunaan bahagian tempahan Malaysia (RM1.1 bilion) bagi akaun-akaun tertunggak.

Ia juga percaya ini bagi keperluan perniagaan seperti biasa yang memaparkan kemampuan pembayaran semula yang sihat.

“Selain itu, harga komoditi yang turun naik itu berkemungkinan memaparkan persekitaran operasi yang tidak menentu bagi akaun-akaun tertentu yang menyebabkan kumpulan mengekalkan RM600 juta bagi tindanan pembolehubah makroekonomi.

“Di samping itu, pengurusan juga beranggapan bahawa perkembangan dalam bidang minyak dan gas (O&G) berkemungkinan memerlukan lebih banyak penambahan atau peruntukan khusus,” kata Kenanga Research.

Menurutnya, berdasarkan data suku keempat tahun kewangan 2021, sebanyak 46 peratus daripada aset O&G adalah terkesan dengan Malaysia menjadi rantau utama dari segi pendedahan kumpulan (74 peratus).

Bagi pasca kemas kini, Kenanga Research berkata ia mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2022 sebanyak 5.0 peratus berdasarkan andaian kos kredit daripada 50 mata asas kepada 60 mata asas yang seiring dengan panduan pengurusan.

Sementara itu, MIDF Research berkata margin faedah bersih CIMB diunjur bertambah baik pada suku berikutnya berikutan kos deposit yang kekal stabil manakala hasil pinjamannya meningkat.

“CIMB dijangka mengekalkan strategi suku keempat tahun kewangan 2021 yang menyaksikannya hanya bersaing untuk deposit dalam segmen tertentu dengan peluang jualan rentas yang ketara,” katanya.

Pada masa sama, ia mengunjurkan pendapatan bukan faedah akan meningkat pada asas suku berikutnya.

“Walaupun pendapatan fi kekal tidak berubah, pendapatan dagangan sebaliknya semakin baik. Kemerosotan kerugian akibat ketidaktentuan pasaran sebagai keuntungan yang belum direalisasi juga tidak akan dipaparkan dalam pendapatan suku pertama unjuran tahun kewangan 2022,” katanya. – BERNAMA