Home Politik Dokumen sampah pun orang percaya juga ke? – Ahmad Samsuri

Dokumen sampah pun orang percaya juga ke? – Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU –  Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujudnya pakatan pemimpin tertinggi PAS bersama parti lain untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagaimana tercatat dalam beberapa dokumen yang tular di media sosial sejak Ahad lepas.

Beliau yang juga menteri besar Terengganu menyifatkan dokumen ditularkan itu sebagai “sampah” dan tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya. Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif (seperti yang tular),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan persediaan dan pendahuluan diri penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di sini hari ini.

Ahad lepas, beberapa dokumen yang dikatakan minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) tular di media sosial, didakwa berkaitan pertemuan antara Samsuri bersama Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April.

Antara pemimpin yang dinyatakan dalam minit itu ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, Samsuri mengakui pertemuan bersama pemimpin politik itu benar-benar berlangsung, namun ia tidak membincangkan perkara seperti yang tular.

Ditanya sama ada beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat, Samsuri menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana beliau menganggap proses itu membuang masa, selain tidak diketahui siapakah yang menyebarkan mesej berkenaan. – Bernama