Home Sukan IMC enggan jual Perak FC – Khalid

IMC enggan jual Perak FC – Khalid

Bekas bintang bola sepak Perak, Muhamad Khalid Jamlus bercakap pada sidang media mengenai isu bertindak melelong beberapa barangan peribadi termasuk kasut emas, jersi dan pingat yang dimenanginya sebelum ini di Menara KBS, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang Perak, Khalid Jamlus mendakwa rundingan pengambilalihan Perak FC gagal kerana pemiliknya, Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) enggan menyerahkan kelab itu kepada syarikat yang berminat.

Pasukan itu sebaliknya cuba mencari pembeli lain.

“Pihak yang nak ambil alih itu sudah ada… IMC dan satu satu syarikat lain sudah buat perjanjian dua minggu lalu tetapi setakat ini perjanjian itu sentiasa tertunda.

“IMC masih sedang cuba untuk mencari syarikat lain bagi menggantikan syarikat sedia ada ini yang mahu mengambil alih,” katanya dalam satu siaran langsung di TikToknya.

Khalid kemudian mendakwa IMC enggan menyerahkan Perak FC kepada pihak tersebut kerana bimbang disingkirkan dari kelab itu.

“Syarikat yang nak ambil alih ni kenal siapa IMC, mereka cukup matang dan tahu pergerakan IMC, mereka datang bukan mahu selamatkan IMC tetapi Perak FC,” katanya.

Tambah beliau, IMC masih sedang berusaha untuk mencari syarikat lain yang sudi membeli Perak FC sebelum hukuman lanjut daripada Malaysian Football League (MFL) dilaksanakan selepas 21 April.

Pada 15 April lalu, MFL melaksanakan pemotongan enam mata kepada kelab itu, selepas tiga mata ditolak pada 1 April lalu.

Jika tunggakan gaji masih tidak dapat diselesaikan menjelang 21 April, MFL akan bermesyuarat untuk menentukan nasib Perak FC dengan risiko digugurkan daripada liga menjadi salah satu kemungkinan. – MalaysiaGazette

+ posts