Home Ekonomi Nivas tekad tanding jawatan Presiden KLSICCI

Nivas tekad tanding jawatan Presiden KLSICCI

Nivas Ragavan

KUALA LUMPUR – Mungkin nampak macam dirinya bercita-cita besar namun hasratnya mahu bertanding jawatan nombor satu Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) ada agenda di sebaliknya.

Itu hasrat salah seorang calonnya, Nivas Ragavan bagi pemilihan bagi penggal 2022-2024 pada hujung minggu ini.

Pengalaman luas Nivas yang sudah bersama KLSICCI sejak 11 tahun bermula dari ahli biasa kepada Ketua Pemuda kemudian menjawat jawatan setiausaha agung selama dua penggal sudah cukup menjadikannya arif selok belok dalam dewan perniagaan yang sudah berusia lebih 94 tahun.

Nivas, 41, merasa teruja dan yakin pada ketika ini rata-rata ahli yang juga sebilangan daripadanya adalah generasi muda begitu dahagakan transformasi yang bukan sahaja mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka tetapi juga masyarakat India di negara ini.

“Macam-macam yang telah saya laksanakan sejak bergelar ahli sehinggalah jawatan Setiausaha Agung, sudah banyak yang telah saya lihat, ramai juga yang mendekati saya meluahkan isi hati mereka tentang pelbagai isu dan agenda, baik ekonomi mahupun sosial dan lain-lain.

“KLSICCI ini telah di tubuhkan untuk menyatupadukan peniaga daripada kaum India dengan visi dan misi membela dan memperbaiki masa depan komuniti ini dari aspek ekonomi namun selama puluhan tahun dengan pelbagai inisitiaf bersama agensi kerajaan mahupun negeri sentiasa dilaksanakan.

“Secara ringkasnya, dewan ini mahu terus meningkatkan kecemerlangan ekonomi kaum India bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Selangor sebaliknya seluruh negara sekaligus menempa nama peringkat global.

“Untuk makluman sejak empat tahun kebelakangan ini, KLSICCI telah mengalami perubahan drastik apabila dari ahli yang hanya 300 melonjak naik sehingga 1,000 orang.

“Bangga untuk saya katakan hari ini bukan sahaja kita miliki mereka dari syarikat-syarikat kecil (SME) tetapi sebaliknya nama-nama besar diterajui oleh kaum India di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Kata Nivas, banyak lagi yang perlu di perjuangkan olehnya jika diberikan mandat menerajui KLSICCI pada penggal ini antaranya dengan meningkatkan taraf ekonomi sekaligus mencapai sasaran pegangan ekuiti kaum India sebanyak tiga peratus.

“Jika anda hendak tahu, pemilikan ekuiti korporat kaum India sebanyak 1.5 peratus pada 2005 yang mana kerajaan telah menyasarkan pencapaian pemilikan itu tiga peratus pada Rancangan Malaysia ke-9.

“Namun sedih sekali kerana  ekuiti kaum India hanyalah 1.5 peratus ketika itu berbanding sasaran itu. Kerajaan telah merancang pelbagai inisiatif dan perancangan rapi namun tugas untuk mengembalikan keajaiban ekonomi ini juga memerlukan sokongan semua pihak,” katanya.

Untuk itu, katanya, ahli bukan sahaja kena meningkatkan daya saing kita tetapi perlu juga bersedia menerima perubahan termasuklah untuk berhijrah minda.

Lagi pun, katanya, perniagaan secara konvensional telah berpindah kepada cara lebih canggih.

“Untuk itu hanya mereka yang mempunyai daya saing dan serta memiliki kreativiti tinggi boleh bertahan dalam arus globalisasi. Itulah juga antara visi, misi dan objektif bukan sahaja saya sebaliknya keseluruhan line up kami yang terdiri dari pelbagai latar belakang perniagaan dan korporat.

“Saya akur dengan perkembangan baharu ini dan pastinya berjanji untuk langkah-langkah lebih pro-aktif dalam mendidik dalam menjalankan perniagaan pintar bertaraf global,” ujarnya.

Demi memastikan impian itu menjadi realiti,  Nivas berikrar sekiranya mandat diberikan beliau akan berterusan mengekalkan hubungan dua yang cukup progresif dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi menggubal dan tampil dengan skim khas membantu semua golongan dalam semua peringkat.

Untuk makluman, kali terakhir KLSICCI mengadakan pemilihan itu pada September 2020 dengan 29 bertanding calon bertanding untuk 18 jawatan manakala Datuk R. Ramanathan telah menang jawatan Presiden tanpa bertanding ketika itu.

Pemilihan kali ini juga dijangka memberi nafas baharu kepada KLSCCI apatah lagi rata-rata bertanding terutamanya dalam pasukan diketuai Nivas terdiri dari golongan usahawan-usahawan muda.

Dengan tema memperkasa sosial ekonomi kaum India secara langsung pastinya pemilihan kali ini akan memberi persaingan cukup sengit. – MalaysiaGazette