Home Rencana Oh Istanbul Kota Dua Benua!

Oh Istanbul Kota Dua Benua!

pemandangan indah dengan udara sejuk di pekarangan Masjid bersejarah Hagia Sophia, di Fatih Istanbul.

SELESAI urusan di Ankara dengan Turkish Aerospace kami mula mengemas barang dan mendaftar keluar Hotel Movenpick dan terbang ke Istanbul pukul 2.50 petang sebelum mendarat di kota yang pernah menjadi ibu negara Rom Timur, Constantinople.

Menempuh perjalanan bersama sahabat Turki, Mustafa menuju ke Hotel Marmara Taksim terletak di hadapan Selat Bosphorus.

Kata-kata Napoleon berlegar dalam fikiran saya setelah melihat ibu kota Istanbul yang mempersonakan dengan yang kepadatan penduduk lebih 15 juta orang.

Warisan Greeco- Roman, Asia Barat dan moden menjadikan adunan yang begitu mempersonakan.

Lelah yang ada tidak terasa kerana begitu teruja dengan pemandangan, tarikan untuk meneroka tidak lagi mampu ditahan.

Teruja yang tidak terhingga….Kalau boleh hendak meloncat-loncat.

Apa pun, kena bersabar kerana segala program telah diatur oleh penganjur, masa yang ada diisi dengan berehat sambil menyiapkan tugasan.

Bila malam, lelapkan mata kerana keesokan ada wacana yang panjang, pengisian yang dinanti-nanti anggota rombongan.

Suasana di dataran Taksim atau Taksim Square, Istanbul berhampiran Selat Bosporus jam 9 malam.

Untuk seketika kerana perut berlapar, saya menyusun langkah untuk berjalan di Taksim Square yang begitu cantik dengan kerlipan lampu bercahaya pada waktu malam dengan suhu udara sejuk.

Lorong Taksim Square yang penuh dengan kunjungan orang ramai termasuk pelajar antarabangsa Mesir yang turut mencuri peluang singgah ke lokasi tumpuan pelancong itu.

Menu kebab, kambing panggang mengikut tradisi Turki dan pelbagai lagi makanan sememangnya menyelerakan sebelum berjalan kaki dua kilometer ke Laut Bosphorus di waktu malam itu ditemani rakan media memberi pengalaman berbeza.

Bersama pelajar tahun akhir Universiti di Mesir dari Malaysia yang sempat ditemui di Taksim Square Istanbul.

Usai bersarapan, saya dan rakan-rakan dibawa oleh pemandu pelancong warga tempatan, Sana ke salah satu ikon Istanbul iaitu Masjid Biru atau Blue Mosque bersejarah yang dibina semasa era Ottoman pada 1609 dan dibuka pada 1616.

Suasana di dalam Masjid Biru sangat indah dengan sentuhan kaligrafi ayat-ayat suci al Quran yang begitu indah. Mencantikkan lagi dekorasi dalaman, ia dihiasi dengan lebih 20,000 batu ceramik jenis Iznik buatan tangan.

Keunikan senibina yang tersergam indah di dalam Majis Biru atau Blue Mosque di Istanbul.

Kehebatan senibinanya bertambah gah dengan lima buah kubah serta gerbang indah.

Tidak jauh dari situ, kurang 500 meter berdiri gagah bangunan yang menjadi mercu utama Constantinople sehingga ke hari ini, Hagia Sophia.

Keindahan Masjid bersejarah Hagya Sophia, Istanbul.

Zaman dan pemimpin berubah tetapi banguan bersejarah berusia lebih 1,485 tahun tetap kukuh menongkah sejarah.

Pada mulanya ia dibina pada abad ke-532 dan 537 Selepas Masihi sebagai gereja untuk penganut Kristian Ortodoks atas arahan Maharaja Byzantine Justinian.

Ia menjadi gereja terbesar empayar Rom Timur selama hampir 1,000 tahun sebelum jatuh ke tangan umat Islam apabila ia berjaya ditawan raja daripada Dinasti Ottoman, Sultan Muhammad Al Fatih pada 29 Mei 1453.

Pemandangan di sekitar Masjid Hagya Sophia, Istanbul

Hagia Sophia kekal berfungsi sebagai sebuah masjid sehingga tahun 1935 dan ditukar kepada muzium oleh kerajaan Republik Turki.

Namun, selepas 86 tahun, pada 24 Julai 2020, tapak warisan UNESCO itu kembali ke fungsi asalnya menjadi masjid.

Hagia Sophia mempunyai satu kubah besar di tengah dengan diameter berukuran 31.87 meter dan setinggi 55.60 meter dari lantai) yang terletak di atas singgah kubah yang disokong oleh empat tiang sambut.

Grand Bazaar dan Spice Bazaar

Berstatus sebagai salah sebuah pasar tertutup yang terbesar dan tertua di dunia, Grand Bazaar di Istanbul mempunyai 61 laluan dengan 4,000 gerai di kawasan seluas 30,700 meter persegi menarik sehingga hampir setengah juta pelawat setiap hari dna 91.25 juta pengunjung setahun.

Grand Bazar, Istanbul yang popular dengan kopi tradisional turki dan pelbagai barang yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong di bandaraya yang dianggap syurga pelancongan dunia itu.

Senibina berwarna warni hiasan dalaman sangat unik yang dibina pada 1455 iaitu 567 tahun lalu dan pernah dinobat sabagai destinasi pelancongan antara terbaik di dunia.

Daripada barang kraf tangan, pakaian termasuk tudung wanita, barang kemas, anting-anting, gelang tangan untuk wanita sehinggalah cenderahati Turki yang unik boleh diperoleh di sini untuk dibawa pulang sebagai memori indah kita.

Lompat denga penuh keterujaan di lorong Grandbazar yang penuh dengan aroma kppi tradisional Turkiye di Istanbul

Dari situ kami terus beralih ke Spice Bazaar atau Egypt Bazar yang menjadi salah satu destinasi yang wajib pergi jika bertandang ke Istanbul.

Seperti namanya, bau wangi dan aroma rempah ratus menyelubungi setiap ruang di bazar tersebut.

Bazar Rempah ‘Spice Bazar’ kaya dengan rempah ratus dan manisan yang turut merupakan antara lokasi pelancongan tertua yang dikunjungi jutaan orang setiap tahun.

 

Segala rempah ratus, kekacang, manisan coklat dan hasil kraftangan ada di sini.

Jangan terkejut jika ada sapaan “Malaysia, mari masuk, boleh cuba dan murah-murah…” – MalaysiaGazette

Bazar Rempah ‘Spice Bazar’ kaya dengan rempah ratus dan manisan yang turut merupakan antara lokasi pelancongan tertua yang dikunjungi jutaan orang setiap tahun.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cintaku tertinggal di Istanbul!