KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengadakan persiapan rapi dan bersedia untuk menguruskan lonjakan trafik semasa hari puncak sambutan Aidilfitri antara 29 April hingga 9 Mei ini menerusi pendekatan yang proaktif untuk membantu orang ramai bergerak dengan selesa dan selamat.
Syarikat pengendali lebuh raya ini mengunjurkan sebanyak 2 juta kenderaan akan berada di atas lebuh raya itu sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus lebuh raya mungkin akan sesak dan ia boleh memanjangkan tempoh perjalanan orang ramai.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, antara pendekatan yang utama adalah meningkatkan rondaan pasukan PLUSRonda untuk memberikan bantuan kepada kenderaan yang terkandas lebuh raya.
Pada musim perayaan ini, jumlah pasukan rondaan PLUSRonda ditambah kepada 520 pasukan bagi membolehkan pasukan ini meningkatkan kekerapan rondaan mereka terutamanya di laluan-laluan yang kritkal.
”Kami juga sedar impak kehadiran kenderaan rosak dan terkandas di lebuh raya terhadap kelancaran pergerakan orang ramai di laluan terbabit. Oleh itu, PLUS akan menempatkan trak tunda serta kren di lokasi-lokasi kritikal di lebuhraya bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengalihan kenderaan-kenderaan yang terkandas terutamanya di laluan-laluan mendaki,” katanya.
Di laluan-laluan kritikal, PLUS juga bersedia untuk mengaktifkan laluan kontra di lokasi tertentu dengan bantuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang diberikan menerusi papantanda di lokasi laluan kontra tersebut.
Sepertimana pada musim-musim perayaan yang lalu, PLUS akan meneruskan kolaborasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, ambulans dan lain-lain lagi.
Ketika pasukan Polis dan JPJ mengadakan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di lebuhraya, pasukan bantuan kecemasan seperti Bomba dan St John Ambulance diletakkan dalam keadaan bersedia di plaza-plaza tol yang strategik dan akan dikerahkan ke lokasi
insiden dengan segera dan pantas apabila diperlukan pada bila-bila masa.
Menjelang sambutan Aidilfitri ini, kira-kira 500 anggota pasukan kecemasan (ERT) akan berada di lebuh raya untuk memberikan bantuan.
Selain lebuh raya, PLUS turut memberi lebih fokus terhadap kelancaran trafik dan keselesaan orang ramai di plaza tol dan kawasan-kawasan rehat sepanjang musim perayaan yang akan datang. – MalaysiaGazette