KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah stesen minyak di Lukut, Port Dickson pada Ahad lalu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan selepas pasukannya menjalankan risikan selama beberapa minggu.
Jelas beliau, ketika serbuan penguatkuasa kementerian mendapati terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel dianggarkan berjumlah RM500.
Hasil siasatan terdapat sebuah pam yang menghubungkan tangki asal kenderaan itu terus ke dalam tiga buah bahagian di dalam lori tangki tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 3,232 liter di dalam bahagian-bahaian pada lori berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya telah merampas minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder kamera litar tertutup dan resit jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain daripada stesen minyak berkenaan yang berjumlah RM32,450 untuk siasatan lanjut.
Menurutnya lagi, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang mengaku pemandu lori berkenaan turut ditahan.
Azman menambah, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada 24 stesen minyak di Port Dickson supaya mematuhi undang-undang.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.
“Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya lagi.-MalaysiaGazette