Home Nasional Polis cari pemilik Twitter ‘Shabina’ dakwa pekerja OKU dipukul

Polis cari pemilik Twitter ‘Shabina’ dakwa pekerja OKU dipukul

Tiga lelaki dicekup disyaki terlibat rusuhan dan khianat pecah cermin kereta tepi jalan di Sri Petalingpada Isnin. lalu. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik akaun Twitter bernama ‘Shabina’ dicari selepas disyaki telah memuat naik satu hantaran kononnya seorang pekerja orang kelainan upaya (OKU) telah ditumbuk dan gajinya dipotong gara-gara pelanggan enggan membuat bayaran atas kesilapan pekerja tersebut menghantar makanan di sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hantaran Twitter berkenaan mendakwa kejadian berlaku di Bukit Jelutong semalam.

Bagaimanapun hasil siasatan awal polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tiada sebarang pergaduhan yang menyebabkan individu berkenaan dipukul oleh pelanggan seperti ditularkan pemilik akaun Twitter tersebut.

“Malah, siasatan mendapati individu yang didakwa terlibat dalam pergaduhan tersebut ditugaskan untuk menjaga cawangan restoran berkenaan di kawasan lain iaitu Star Avenue.

“Bahkan individu yang didakwa sebagai OKU tersebut turut membuat laporan polis menafikan dirinya dipukul oleh pelanggan serta dipukul oleh pekerja majikan dan dipotong gaji,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, individu OKU yang berusia 31 tahun itu turut menafikan dakwaan sebagaimana tular menerusi hantaran di Twitter tersebut.

Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan.

Individu yang didakwa OKU ini juga menyatakan dirinya tidak mempunyai kad OKU dan telah bekerja di restoran berkenaan selama lapan tahun.

Mohd Iqbal berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia bagi mengesan pemilik twitter nama Shabina. – MalaysiaGazette