Home Sukan Man United muncul kembali kelab terkaya di dunia

Man United muncul kembali kelab terkaya di dunia

KUALA LUMPUR – Manchester United menikmati perolehan pendapatan tertinggi oleh sesebuah kelab bola sepak apabila pendapatan melonjakkan mereka dalam senarai teratas yang dikeluarkan Deloitte Football Money League sejak Real Madrid menguasai carta itu pada 2004.

Juara 20 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu memperolehi pendapatan sebanyak EUR689 juta (RM32 bilion) hasil daripada hak komersial yang meningkat kepada EUR100 juta (RM5 bilion).

Madrid tergelincir di tangga ketiga di belakang Barcelona yang kekal di tangga kedua. Kesemua tiga kelab terbesar itu melepasi pendapat sebanyak EUR600 juta, musim lalu.

Manchester City mendaki ke tangga kelima buat julung kalinya untuk berada di belakang Bayern Munich manakala Leicester City memasuki kelompok 20 pasukan terbaik buat kali pertama berikutan kejayaan meraih trofi EPL dan layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Sebanyak 20 pasukan dengan pendapatan tertinggi dunia itu menghasilkan pendapatan sebanyak EUR7.4 bilion pada 2015-16, peningkatan sebanyak 12 peratus daripada musim sebelumnya.

Lapan kelab EPL yang berada di kelompok 20 pasukan teratas menjana separuh daripada perolehan itu.

Rakan kerjasama Sports Business Group di Deloitte, Dan Jones berkata: “Manchester United perlu menunggu sehingga 11 tahun untuk kembali di posisi mereka sebagai peneraju penjanaan pendapatan kelab dan perkembangan komersial telah membantu mereka meraih pencapaian ini.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemampuan mereka dalam memastikan kerjasama komersial sebagai faktor penting untuk mereka kembali meraih kedudukan puncak ‘Money League’.

“Mereka berdepan cabaran sengit daripada Barcelona dan Real Madrid untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam edisi tahun depan, susulan daripada ketiadaan aksi dalam Liga Juara-Juara, kelemahan nilai mata wang Pound berbanding mata wang Euro selain dalam jangka masa panjang, kelab-kelab lain akan merujuk kepada perjanjian pasaran komersial mereka.”

Pengurus senior di Deloitte, Tim Bridge percaya kedudukan terbaru itu mencerminkan kekuatan kewangan pasukan EPL, namun kedudukan Leicester yang melonjak ke tangga ke-20 membuktikan nilai kejayaan sesebuah pasukan.

“Money League terus menunjukkan kewangan EPL yang kukuh,” katanya.

“Leicester City membuktikan kejayaan di atas padang akan memberikan mana-mana pasukan EPL untuk berada di kelompok 20 teratas.

“Dengan Leicester sudah pun layak ke pusingan ke-16 dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, kami menjangkakan mereka akan mengekalkan posisi mereka di kelompok 20 pasukan teratas dan berpotensi untuk terus mendaki beberapa anak tangga lagi.” – MalaysiaGazette