Home Nasional Johor pertimbang ADUN lantikan dalam kalangan orang muda – MB

Johor pertimbang ADUN lantikan dalam kalangan orang muda – MB

Onn Hafiz Ghazi
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor akan mempertimbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam kalangan orang muda.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lantikan yang akan melibatkan generasi muda itu sudah pastinya memberi ruang kepada golongan tersebut membawa pembaharuan dan kemajuan negeri ini.
Ini kerana, golongan muda tanpa mengira kecenderungan politik harus “meremajakan” Johor dengan idea-idea baharu dan segar, sekali gus melonjakkan negeri ini ke tahap membanggakan.
“Kita mahu lihat bagaimana kita boleh melibatkan beberapa anak muda,bpemimpin anak muda di luar sana untuk sama-sama memajukan Johor.
“Mungkin kita boleh memilih mereka sebagai ADUN lantikan seperti di negeri lain yang pernah dilakukan.
“Sudah pasti kita akan pertimbangkan perkara tersebut, “katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat pertama memilih speaker dan timbalan speaker dan majlis mengangkat sumpah ADUN di sini hari ini.
Dalam pada itu, Onn berkata, Kerajaan Negeri Johor juga akan membentuk Jawatankuasa Pemilih dalam masa terdekat ini dan akan mempertimbangkan komuniti yang sesuai.
Beliau berharap perbincangan itu juga dapat diteruskan dalam kalangan  pemimpin kerajaan dan pembangkang.
“Ini semua bertujuan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat Johor secara keseluruhannya,” katanya.- MalaysiaGazette