Home Utama Menjijikkan! Pasar raya jual ayam busuk, simpan makanan bersama najis haiwan

Menjijikkan! Pasar raya jual ayam busuk, simpan makanan bersama najis haiwan

Dr Muhamad Akmal menunjukkan najis haiwan yang dilitupi dengan beras sehingga kering di gudang simpanan makanan sebuah pasar raya di Jasin, Melaka hari ini

JASIN – Jual ayam dan ikan yang sudah busuk dalam peti sejuk, rempah ratus yang telah empat tahun tamat tempoh selain menyimpan stok makanan bersama-sama najis haiwan di dalam gudang simpanan.

Itu antara kesalahan jijik dikesan sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri dalam satu serbuan di sebuah pasar raya terkenal di Jasin, di sini hari ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, susulan itu, gudang simpanan di sebelah di pasar raya berkenaan diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari mengikut atas kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Dr Muhamad Akmal menunjukkan najis haiwan yang dibiarkan sehingga kering di gudang simpanan makanan sebuah pasar raya di Jasin, Melaka hari ini.

“Ayam busuk itu satu hal, kesalahan besar paling yang paling tak boleh diterima bila ada bekalan makanan yang hendak dijual diletakkan bersama-sama najis haiwan sehingga najis itu kering.

“Ini amat mengecewakan dan mengejutkan menyebabkan gudang simpanan ini terpaksa diarah tutup serta merta selama 14 hari. Tidak dibenarkan stok bekalan keluar atau masuk dari gudang ini sehingga kita benar-benar puas hati dengan tahap kebersihannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai serbuan Op Raya 22 bersama-sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Dr Muhamad Akmal (kanan) dan Dr. Rusdi menunjukkan keadaan ayam yang sudah busuk disimpan di peti sejuk jualan sebuah pasar raya di Jasin, Melaka sempena Ops Raya 2022.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, serbuan dilakukan susulan JKN menerima aduan daripada pengguna mengenai tahap rendah kebersihan premis makanan di pasar raya berkenaan yang mula beroperasi sejak 2014.

“Memang pasar raya ini agak terkenal di Jasin kerana harga ditawarkan murah namun tidaklah bermakna mereka boleh mengabaikan tahap kebersihan.

“Kualiti barang jualan tidak boleh dikompromi dan JKN akan terus melakukan operasi sebegini setiap masa terutamanya di lokasi tumpuan ramai berbelanja menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Keadaan ayam yang sudah busuk disimpan di peti sejuk jualan sebuah pasar raya di Jasin, Melaka sempena Ops Raya 2022.

Dalam operasi itu, pemilik pasar raya berkenaan turut dikenakan tiga kompaun bernilai RM9,500 selain JKN menyita 279 barang bernilai RM1,949.79 atas kesalahan tamat tarikh luput, perlabelan, makanan rosak dan pembungkusan.

Jelasnya, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009. – MalaysiaGazette