JASIN – Selepas hampir setahun beroperasi, Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan ditutup sepenuhnya bermula 30 April ini.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penutupan PKRC yang mula dibuka pada 21 Mei tahun lalu itu dibuat selepas kadar penggunaan katil pesakit semasa hanya kira-kira 15 peratus.
Menurut beliau, selepas ini pesakit berisiko rendah akan dihantar ke Hospital Melaka selain di Kolej Jururawat untuk menerima rawatan lanjut.
“PKRC MITC akan ditutup bermula 30 April ini dah kita akan adakan majlis meraikan penutupan itu pada 27 April.
“Penutupan ini susulan penggunaan katil di PKRC MITC ketika ini hanya 15 peratus, jadi adalah lebih baik kita tutup dan untuk sementara ini pesakit boleh ditempatkan di Hospital Melaka selain di Kolej Jururawat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai serbuan Ops Raya 2022 bersama Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman di sini hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya bagaimanapun menyediakan beberapa rancangan untuk menerima pesakit sekiranya berlaku gelombang jangkitan Covid-19 pada masa hadapan.
“Jika berlaku gelombang apa-apa kita sudah ada rancangan A dan B dan insya-Allah kita akan kemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
PKRC MITC Melaka mula beroperasi pada 21 Mei 2021 menjadi PKRC pertama untuk orang awam yang dijangkiti Covid-19 pada tahap kategori 1 dan 2.
Pembukaannya ekoran kesesakan di PKRC Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), disebabkan peningkatan kes mendadak pada Mei tahun lalu terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pembukaan PKRC MITC dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan purata kes positif Covid-19 di Melaka ketika itu adalah sekitar 100 hingga 120 sehari. – MalaysiaGazette