KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan bertoleransi dengan pihak yang melakukan kempen memburukkan industri minyak sawit yang dicetuskan oleh pihak antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Malaysia akan memastikan satu tindak balas yang sewajarnya dilaksanakan bagi pihak pemegang taruh dalam industri sawit negara, khususnya 650,000 pekebun kecil tempatan.
Menurut beliau, industri minyak sawit negara ketika ini berdepan cabaran daripada pelbagai kecaman, khususnya Kesatuan Eropah (EU) yang melancarkan kempen ‘Tiada Minyak Sawit’ bagi mengetepikan industri itu secara sistematik.
“Kita tidak boleh berdiam diri lagi. Kita mesti bertindak balas terhadap semua kempen negatif terhadap minyak sawit.
“Kita mesti bertindak balas secara rasional menerusi fakta dan statistik berhubung isu pembasmian hutan dan pemusnahan hidupan liar (yang dibangkitkan kempen antiminyak sawit,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kepemimpinan Industri Minyak Sawit (PILA) 2017 malam tadi.
Pada majlis yang sama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Tan Sri Dr. Yusof Basiron diumumkan sebagai penerima PILA dan Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Kecermelangan Seumur Hidup Industri Kelapa Sawit kepada Ketua Pegawai Operasi (Sektor Perladangan) Felda Global Ventures, S. Palaniappan.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia adalah pemain penting dalam industri minyak sawit global dengan menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit serta jumlah nilai eksport kira-kira RM70 bilion tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, industri minyak sawit negara perlu bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat dan berada di hadapan dengan menerokai teknologi baharu untuk menambah nilai kepada industri berkenaan. – MalaysiaGazette