Home Nasional Lauk dihurung lalat, telur ayam tidak dibasuh di bazar Sungai Dua

Lauk dihurung lalat, telur ayam tidak dibasuh di bazar Sungai Dua

Mohd Wazir melihat lauk yang ditinggalkan peniaga tanpa sebarang penutup selain dihurung lalat di Bazar Ramadan Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Lauk dibiarkan tanpa penutup hingga dihurung lalat selain guna telur ayam yang mempunyai kesan tahi ayam.

Itu antara kesalahan yang dikenal pasti Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika melakukan Ops Bazar di bazar Ramadan Sungai Dua di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKNPP, Inspektor Kesihatan Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut itu susulan Menteri Kesihatan meminta pemantauan kerap dilakukan di bazar Ramadan bagi mengelakkan kejadian di bazar Putrajaya berulang di lokasi lain.

Mohd Wazir.

Jelas beliau, hasil pemantauan pihaknya mendapati tahap kebersihan yang dipraktikkan pengendali makanan di bazar tersebut berada dalam tahap memuaskan.

Kata beliau, lebih membimbangkan apabila pihaknya mendapati ada peniaga meninggalkan makanan jualan tanpa penutup hingga dihurung lalat.

“Ini adalah kesalahan yang serius kerana sikap itu boleh menyumbang kepada keracunan makanan yang disebabkan oleh lalat.

Kesan tahi ayam pada telur antara kesalahan dikenal pasti.

“Dalam operasi itu, kita juga dapati lebih 30 pengendali makanan di bazar tersebut tidak mengambil suntikan tifoid dengan alasan berniaga dalam tempoh sebulan sahaja.

“Selain itu, peniaga dilihat memandang remeh isu pemakaian perlindungan diri (PPE) seperti topi serta apron sedangkan itu adalah perkara asas bagi individu yang mahu mengendalikan perniagaan makanan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai operasi.

Tambah Mohd Wazir, pihaknya mengeluarkan 25 notis atas pelbagai kesalahan terhadap pemilik, pengendali makanan di bazar tersebut yang berjumlah RM12,000.

“Suka saya ingatkan kepada peniaga untuk menjaga tahap kebersihan bagi mengelakkan insiden keracunan makanan berlaku kerana ia merupaka satu kesalahan serius,” kata beliau. – MalaysiaGazette