Home Nasional Ahli perniagaan didakwa guna kekerasan terhadap penjawat awam

Ahli perniagaan didakwa guna kekerasan terhadap penjawat awam

Ho Soon Teik (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dengan tujuan menakutkannya ketika menjalankan tugas.

Tertuduh, Ho Soon Teik, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Manomani di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu Ahmed Shahjahan Yusoff, 31, daripada menjalankan kewajipannya yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan restoran Jack & Grill Western Food yang beralamat di 288E-1-8 Fortune Court dalam daerah Timur Laut kira-kira pukul 9.24 pagi pada 14 April lalu.

Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, K. Mahendren dan Chan Hui Ching merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak melarikan diri dalam kes tersebut selain pendapatannya tidak stabil ketika ini serta mempunyai enam tanggungan.

Selepas mendengar permohonan itu, Manomani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular dua rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai peniaga sebuah restoran menghalang kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang menjalankan tugasnya.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 30 saat itu, peniaga berkenaan didapati sengaja menghalang tugas penjawat awam berkenaan. – MalaysiaGazette