Home Utama Surat tawaran haji keluar Isnin ini

Surat tawaran haji keluar Isnin ini

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin bercakap pada sidang media khas di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran kepada 14,306 bakal jemaah bagi musim haji tahun ini secara berperingkat mulai Isnin depan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH memilih senarai nama mereka berdasarkan kaedah penggiliran siapa yang dahulu mengikut dalam sistem.

Menurut beliau, gara-gara penundaan ibadah haji selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, kini terdapat lebih 60,000 jemaah yang dalam senarai sistem.

TH kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.

“TH akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai Isnin ini.

“Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022.

“Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

“Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga telah dibuka dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini. – MalaysiaGazette