Home Nasional Jentera bomba, ERMS ditempatkan di R&R Lebuhraya Pantai Timur

Jentera bomba, ERMS ditempatkan di R&R Lebuhraya Pantai Timur

Datuk Seri Norul Azali Sulaiman menyampaikan sijil sempena perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Op Raya di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Jentera bomba dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) akan ditempatkan di hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pahang sebagai persiapan menghadapi keadaan kecemasan semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya akan bersiap siaga sepanjang masa untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kemalangan.

“Setiap jentera melibatkan tujuh hingga lapan orang anggota bomba yang akan bertugas selama 14 hari bermula 25 April sehingga 9 Mei nanti,” katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya di Kuantan City Mall (KCM), di sini, hari ini.

Kempen tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norul Azali Sulaiman.

Menurut Wan Mohammad, unit peronda motosikal pula akan ditempatkan di jalan persekutuan bagi memantau kes kemalangan dan bencana.

Sementara itu, Norul Azali turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dalam perjalanan menuju ke destinasi.

“Jika berlaku sebarang kemalangan, panggilan yang paling sesuai ialah 999, kerana melalui sistem ini kerana pengadu akan dibimbing untuk memudahkan bantuan disalurkan.

“Pengadu juga akan mendapat panggilan susulan laporan dibuat,” katanya – MalaysiaGazette