Home Nasional Suspek cuba samun pelajar dicekup polis

Suspek cuba samun pelajar dicekup polis

Suspek kedua (berbaju putih yang cuba menyamun dua pelajar warga asing di Persiaran Dutamas semalam akhirnya dicekup di taman Beringin, Kuala Lumpur. - Gambar Ihsan Polis IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini memberkas salah seorang daripada dua suspek yang disyaki menyamun dua pelajar warga asing di hadapan Sekolah Kebangsaan Kiaramas, Persiaran Dutamas, di sini, semalam

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek warga tempatan berusia 32 tahun itu adalah penunggang motosikal melakukan jenayah samun pada pada jam 8.53 malam semalam.

“Tangkapan ke atas suspek dibuat pada jam 3.30 petang tadi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, di Jinjang Utara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Eng Lai, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan motosikal yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian tersebut.

Tambah beliau, semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Kini pasukan kami sedang giat memburu rakan sejenayahnya yang masih bebas.

“Kita yakin menjejaki dan memberkas seorang lagi penjenayah itu secepat mungkin untuk tindakan segera berlunaskan undang-undang,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru dua lelaki cuba samun pelajar warga asing

Terdahulu dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Eng Lai berkata, dalam insiden itu salah seorang wanita dipukul suspek dengan menggunakan kayu mengakibatkan kecederaan pada badan mangsa.

“Kita telah menerima laporan polis daripada mangsa berkenaan yang merupakan seorang pelajar berusia 26 tahun mengenai kejadian itu pada jam 10.04 malam.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam 8.53 malam semasa mangsa sedang berjalan menuju ke pusat membeli belah Publika bersama seorang lagi rakan perempuannya yang juga merupakan seorang warganegara asing.

“Tiba-tiba mangsa bertindak merakam aksi kedua-dua suspek lelaki tersebut menggunakan telefon bimbit setelah menyedari perbuatan suspek yang sangat mencurigakan berpusing dengan motosikal,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua suspek berpatah balik dan mendekati mangsa dan cuba merampas telefon bimbitnya menyebabkan berlaku pergelutan. – MalaysiaGazette