Home Pendapat Iktibar tragedi maut basikal lajak

Iktibar tragedi maut basikal lajak

Sekumpulan kanak-kanak lelaki mengayuh basikal lajak. Gambar hiasan

TENTUNYA insiden ini bukan berkaitan politik atau parti tertentu, walau ada sebilangannya mengaitkan isu tersebut sebegitu. Sewajarnya sebagai rakyat Malaysia yang punya adab dan tatasusila yang tinggi serta cintakan keharmonian yang tinggi dalam kalangan masyarakat, anggapan sedemikian perlulah dibuang jauh. Selayaknya polemik perkauman, etnik tidak dikaitkan di sini. Seharusnya konteks keadilan itulah yang perlu ditegakkan walaupun kepada sesiapa, agama mahupun bangsa apa pun di negara ini bagi merealisasikan perpaduan dan keamanan di negara ini.

Tragedi maut basikal lajak pada 2017 di Johor Bahru yang mengorbankan lapan remaja kembali mendapat perhatian selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru membatalkan pembebasan pemandu wanita, Sam Ke Ting. Pada 10 Oktober tahun lalu, mahkamah majistret membuat keputusan membebaskannya daripada tuduhan berkenaan selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Seterusnya pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan wanita tersebut tanpa memanggilnya untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. Isu yang hangat diperkatakan masih belum reda berikutan tindakan dan hukuman yang dikenakan kepada kerani itu baru-baru ini yang telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memandu hingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu.

Namun pada 18 April lalu, wanita tersebut dibebaskan dengan jaminan. Sebagaimana yang dilaporkan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan boleh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Seterusnya mahkamah turut membenarkan permohonan wanita itu untuk merayu sabitan kesnya di Mahkamah Rayuan.

Sebagaimana kata Mohd Firdaus Abdullah melalui komentarnya: ”Basikal untuk ditunggang dengan cermat bukan untuk tunggang sambil meniarap atau baring dengan ‘break’ tak ada, lampu tak ada, dibuatnya pertandingan lumba haram pukul dua tiga pagi, akhirnya orang yang guna jalan tu ditimpa musibah dan jadi mangsa”. Kata Baie Nan pula, aktiviti basikal lajak rupanya dah lama bertapak. ”Sangat adil saman ibu bapa sekali sebab anak-anak itu bawah 18 tahun”. Sedarkah kita akan situasi ini?

Tidak perlu menuding jari

Benar, amat menyakitkan bagi sesiapa pun, apalagi ibu bapa berikutan kehilangan anak sebagaimana tragedi yang terjadi ini. Tidak dinafikan sesiapa pun akan sedih dan pilu mendengar khabar begitu. Itu lumrah manusia. Memetik komentar Lulu Loka di FB, seeloknya pantau anak-anak.

”3 pagi kot ibu bapa mangsa pergi mana masa tu. Sakit hati berdarah air mata pun tak guna”. Namun dari satu sisi, pelbagai persoalan boleh dilontarkan, antaranya mengapa anak-anak remaja tersebut berada di atas jalan raya pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari 2017 lalu? Tempat sepatutnya mereka yang berusia 13 hingga 16 tahun itu berada pada waktu itu adalah di dalam rumah, bukan berkeliaran di luar rumah.

Pada sisi yang lain, jika kita ingin melontarkan persoalan, bagaimana pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka khususnya yang di bawah umur seperti mangsa-mangsa tersebut? Adakah mereka membiarkan saja atau bagaimana? Semua ini juga perlu diketahui untuk mendapatkan informasi yang lebih tepat dan menyeluruh.

Alwi Zakaria pula menyatakan agar ibu bapa mengambil iktibar daripada kejadian ini. ”Ambil peduli keberadaan anak-anak kita pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi bila anak-anak dah mula ada kenderaan sendiri seperti basikal/motor”. Dalam pada itu, saya sependapat dengan pandangan yang dilontarkan peguam Siti Kassim yang percaya tanggungjawab terletak pada ibu bapa dalam tragedi kemalangan remaja berbasikal lajak di Johor, tetapi beliau tidak bersetuju dengan gesaan untuk mendakwa ibu bapa kerana cuai.

Jelasnya, ia akan menjadi sukar di sisi undang-undang dan terdapat juga pertimbangan lain seperti kegagalan masyarakat. Oleh yang demikian, seharusnya masyarakat perlu menerima peristiwa ini sebagai kemalangan. Walau sukar untuk didepaninya terutama ibu bapa dan keluarga terdekat, namun ia hendaklah diterima.

Selain itu, ia juga perlu dijadikan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar insiden seperti itu tidak berulang lagi pada masa akan datang. Sebagaimana kata Majistret Siti Hajar yang menasihati ibu bapa supaya menjaga anak-anak supaya kejadian sebegitu tidak berulang dan menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap aktiviti basikal lajak itu.

Jangan cetuskan polemik perkauman

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, berdasarkan undang-undang sedia ada, mereka yang sengaja mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan menggugat perpaduan dan keharmonian rakyat khususnya berkaitan isu perkauman, boleh disiasat dan didakwa.

”Sesiapa yang mencetuskan suasana yang menggugat perpaduan boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian”.
Menurut beliau, mereka juga boleh disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

”Bagi kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan kesalahan menghasut siasat mengikut Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15),”
jelasnya. Seperti kes ini, ia seharusnya dikendalikan berdasarkan undang-undang dan kebijaksanaan mahkamah, tanpa intervensi daripada unsur perkauman mahupun suara-suara kecaman netizen terhadap tertuduh.

Seorang pengguna FB, Naresh Singh mempersoalkan kenapa rakyat Malaysia memandang seseorang itu dari sudut perkauman saja, bukan sebagai manusia? ”Kalaulah (tidak bermaksud, tidak ingin berlaku) penunggang basikal lajak ini dilanggar
kereta polis, VVIP ataupun ambulan yang selalu pecut laju, apakah tindakan rakyat Malaysia? Jadi, biarkan mahkamah, peguam bela, peguam pendakwa buat kerja. Rakyat Malaysia janganlah panaskan keadaan dengan sentimen perkauman dan gosip”.

Realitinya, netizen sangat ambil mudah membuat persepsi bahawa jika membela wanita yang terbabit, lantas disandarkan kepada kaum dan agamanya, apatah lagi jika yang membela itu daripada sesuatu parti yang tidak selari dengan pandangan mereka. Jangan kerana isu yang telah terjadi mencetuskan pula polemik perkauman hingga menghilangkan kesejahteraan dan keharmonian di negara ini.

Kerajaan Keluarga Malaysia perlu tegas tangani

Dari sisi lain, rasionalnya kerajaan Keluarga Malaysia kini perlu menggubal undang-undang baharu atau peraturan yang lebih spesifik agar perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi. Tidak terkecuali, penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada perlu diperketat dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada pihak yang melanggar peraturan tersebut. Antaranya yang perlu diambil peduli ialah sehingga waktu bilakah anak-anak yang dalam usia jagaan perlu berada di rumah.

Selain itu, seharusnya ibu bapa membuat aduan kepada pihak polis tentang keberadaan anak-anak mereka yang masih tidak berada di rumah jika tempoh tersebut anak-anak itu tidak berada di rumah. Ini bagi memudahkan tindakan yang sepatutnya diambil. Kerajaan Keluarga Malaysia seharusnya mengambil sikap yang jelas bagi mengelakkan insiden sedemikian tercetus, garis panduan yang jelas perlu disegerakan.

Ia juga bagi menenangkan pihak-pihak bersangkutan agar tidak terus dipersalahkan. Masyarakat juga perlulah memainkan peranan untuk mengelakkan situasi sedemikian tidak berulang lagi. Inilah masanya untuk menjadi penasihat kepada keluarga mahupun jiran tetangga, agar tetap memantau dan memastikan anak-anak berada dalam keadaan sepatutnya apabila waktu malam.

Solusi yang ditawarkan

Dalam pada itu, bagi memenuhi keperluan anak-anak khususnya berkaitan akademik dan pembelajaran, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menawarkan program Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) untuk membantu ibu bapa dalam membimbing anak-anak. Ia memfokuskan untuk membantu ibu bapa memahami peranan mereka dan pengaruhnya ke atas pembelajaran anak-anak.

Selain itu, program ini mengajar ibu bapa teknik dan cara yang sesuai dalam mengatasi masalah pembelajaran anak-anak dan meningkatkan sahsiah anak-anak. Projek IMPAK ini juga akan mengukuhkan hubungan antara ibu bapa anak-anak serta
memastikan anak-anak dapat belajar dengan bersungguh-sungguh bagi menuju ke arah kejayaan. Untuk keterangan lanjut, sila ikuti laman FB IMPAK. Tidak terkecuali, IKRAMTeens iaitu sebuah kelab remaja di bawah naungan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bertujuan membentuk remaja secara menyeluruh, memiliki ciri ciri unggul dan berkepimpinan tinggi.

Remaja dilatih melalui bimbingan yang komprehensif, kontemporari, seimbang serta berterusan supaya mereka mampu menjadi remaja yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara. Info lanjut boleh dilayari di laman FB IKRAMTeens.

Atriza Binti Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)